Isu tempoh jawatan PM buat rakyat meluat: Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

GURUN- Kenyataan berulang kali berkaitan isu tempoh jawatan Perdana Menteri hanya akan membuatkan rakyat berasa 'meluat', demikian kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, fokus sekarang sepatutnya tertumpu kepada usaha kerajaan dalam menunaikan kewajipan dan berikan ruang secukupnya bagi kerajaan menjalankan kerja-kerja untuk rakyat.

Setiap keputusan yang dicapai secara persepakatan oleh kepimpinan semua parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum yang lepas adalah sudah memadai untuk menguruskan perkara itu (tempoh jawatan Perdana Menteri).

"Tak guna cakap perkara yang dah setuju dalam formula sebelum pilihan raya umum dulu, kalau isu ini diulang tak sesuai kesannya pada rakyat.

"Beri ruang kepada kerajaan dan Perdana Menteri, sesuai dengan mandat dan sokongan majoriti kepada PH untuk selesaikan tugas sebagai kerajaan, kerja kita sangat banyak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin parti mengenai peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya.

Beliau berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan berkaitan isu berkenaan setiap hari juga bukanlah sesuatu yang produktif sebaliknya semua pihak perlu lebih kerap turun padang dan fokus kepada rakyat.

Katanya, mereka yang sering memberi komen berhubung isu itu juga sebenarnya adalah orang luar dan bukan dalam kalangan mereka yang duduk dalam 'kelambu' PH. - Bernama

Artikel Berkaitan: