Amanah ditaja DAP: Itu tuduhan jahat UMNO!

Asmuni (dua, kanan) menerima cenderahati disampaikan Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Perak hari ini.
Asmuni (dua, kanan) menerima cenderahati disampaikan Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Bendahari Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Asmuni Awi menyifatkan tuduhan dibuat Presiden UMNO bahawa sumber kewangan parti itu dibiayai sepenuhnya DAP sebagai niat jahat untuk memburukkan imej Amanah.

Beliau berkata, ini kerana tiada sebarang bukti dapat ditunjukkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membuat dakwaan berkenaan, sebaliknya hanya meminta mereka membuat penafian.

"Saya berpegang pada prinsip apabila kita nak menuduh seseorang, mestilah ada bukti diberikan, tidak bolehlah sewenang-wenangnya 'tembak', kemudian minta nafi.

"Saya harap beliau (Ahmad Zahid) yang dah berkawan dengan Pas ni, belajarlah sedikit hukum Islam kerana dalam Islam pun ada disebutkan setiap tuduhan perlu ada bukti bagi mengesahkan dakwaan dibuat, kalau tidak kita tak boleh mengatakannya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Perak hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Amanah Perak berkata, penubuhan parti itu yang dianggotai ahli dari pelbagai latar belakang termasuk Pas masih mengekalkan semangat jihad Islam yang tinggi dalam perjuangan politik.

"Dengan mengatakan bahawa hidup mati Amanah ini kononnya sentiasa dapat sokongan DAP, sampai makan pun kena DAP suap, seolahnya kita tidak punya semangat.

"Mereka mungkin tak tahu, berapa banyak pengorbanan kita lakukan dari biayai sendiri konvensyen hinggalah sewa dan baik pulih kedai (pejabat), tetapi takkanlah kita nak cerita kepada semua orang," katanya.

Minggu lalu, Ahmad Zahid membuat cabaran terbuka kepada Presiden Amanah, Mohamad Sabu untuk menafikan bahawa sumber kewangan parti itu dibiayai sepenuhnya DAP bagi menyangkal pembabitan parti itu dalam perancangan awal penubuhan Amanah.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Zahid cabar Mat Sabu dedah sumber kewangan Amanah