Jangan bimbang dengan cerita UMNO bakal diharamkan: Ismail Sabri

Ismail Sabri ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan 2019, UMNO Bahagian Subang di Kinrara Resort di sini hari ini. -Foto Sinar Harian
Ismail Sabri ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan 2019, UMNO Bahagian Subang di Kinrara Resort di sini hari ini. -Foto Sinar Harian
A
A
A

PUCHONG - Ahli-ahli UMNO diingatkan agar tidak bimbang dengan cerita mengenai parti itu bakal diharamkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana pimpinan tertinggi parti itu telah bersedia dengan segala kemungkinan untuk menghadapi perkara itu sekiranya ia benar-benar terjadi.

Malah katanya, mereka telah merangka pelbagai strategi bagi memastikan UMNO tidak diharamkan.

"Semalam saya pergi ke Larut mereka nak masuk jadi ahli Putra kerana takut UMNO diharamkan. Mereka takut, tapi kena ingat ini janganlah bila orang kata UMNO akan diharamkan tak lama lagi bimbang sangat, berikan kepercayaan kepada pimpinan tertinggi kerana kita tidak akan benarkan sesiapapun haramkan parti kita.

“Malah kita ada pelan B, C jika senario buruk berlaku, jadi jangan risau...yang penting kita teruskan perjuangan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan 2019, UMNO Bahagian Subang di Kinrara Resort di sini hari ini.

Tambahnya, ketika ini kes itu telah dibawa ke mahkamah Persekutuan namun proses keputusannya akan mengambil masa.

"Kita menang di Mahkamah Tinggi, mereka tidak puas hati merayu di Mahkamah Rayuan kita menang lagi tapi bila di bawa ke Mahkamah Persekutuan mahkamah buat keputusan bantahan mereka (16 ahli) diterima atas alasan mahkamah mempunyai bidang kuasa yang luas untuk menjalan apa-apa kes termasuk parti politik kerana kuasa mahkamah ini diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

"Jadi kalau kita kalah kita akan merayu ke Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan jadi lama, maka kalau dihitung keputusannya mungkin paling awal pada 2022, dan sepanjang itu macam-macam boleh berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 20 April 2018, 16 Ahli Cawangan UMNO memfailkan permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membenarkan UMNO lanjutan masa untuk mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tidak akan diharamkan: Ismail Sabri

Mereka adalah daripada 11 cawangan di enam negeri dan menamakan ROS dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai responden.

Mereka memohon pengisytiharan bahawa semua bahagian UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO tidak mempunyai kuasa yang sah dari segi undang-undang untuk berurusan dan terbatal atau terbubar berkuatkuasa, 20 April 2018.

16 pemohon berusia antara 30 hingga 55 tahun. Mereka adalah Salihudin Ahmad Khalid, Noor Halimi Yahya, Mariam Mohd Ishak, Mohd Hafami Hanif, Saharuddin Tukiman, Azaid Jani, Normalawati Hassan, Radiana Abd Manaf, Mohd Raafeek Rahim, Nurul Hanna Mohd Suhot, Kamarul Abd Wahid, Mohd Hikamal Md Hassim, Muzamzamir Abd Wahab, Norizam Jamaludin, Rohani Ahmad, dan Muhamad Hafizi Hashim.