Pas Johor sokong tulisan khat, jawi di sekolah

Abdullah Husin
A
A

JOHOR BAHRU - Pas Johor menyokong pelaksanaan pengenalan seni khat dan tulisan jawi oleh kerajaan yang dijadualkan kepada murid tahun empat bermula tahun hadapan.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, ini kerana seni khat dan tulisan jawi mempunyai nilai artistik tersendiri dan murid-murid digalakkan untuk menghargainya.

Menurutnya, tambahan pula, Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan bahasa Malaysia hendaklah menggunakan tulisan rumi dan tiada halangan untuk menggunakan tulisan jawi.

"Pas Johor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di atas usaha memartabatkan warisan bangsa dengan memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat pada tahun 2020.

"Pas Johor mengikuti perkembangan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) terbaharu yang menjadi rujukan para guru dalam menyediakan rancangan pengajaran melalui perbincangan bersama wakil Kluster Pendidikan Jabatan Profesional Muda," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Abdullah berkata, hasil dapatan pihaknya mendapat makluman, seni kaligrafi ini akan diajar berdasarkan standard pembelajaran tertentu.

"Ia merangkumi mengenal, mengecam dan menyebut huruf tunggal yang ditulis mengikut seni khat dalam simpulan bahasa dan mempersembahkan dalam bentuk tulisan.

"Selain itu, mempersembahkan keindahan seni khat melalui simpulan bahasa," katanya.

Beliau berkata, mengikut tinjauan pihaknya juga tidak ada sebab untuk mana-mana pihak membantah cadangan pembelajaran berkenaan memandangkan subjek hanya diajar lima atau enam kali sahaja dalam tempoh setahun.

"Hanya enam muka surat daripada keseluruhan 156 muka surat buku teks diperuntukkan. Pelajaran seni khat juga tidak diwajibkan dan tidak masuk dalam peperiksaan.

"Jika ditelusuri, berdasarkan piawaian pembelajaran ini, bakat dan kreativiti anak bangsa dapat dilatih seawal sekolah rendah dan secara tidak langsung dapat memupuk rasa cinta akan budaya warisan bangsa," katanya.

Ujarnya lagi, terkini, Pas Johor juga menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah memutuskan pembelajaran tulisan khat ini akan diteruskan.

"Kami yakin, dengan mempelajari seni warisan ini dapat mengukuhkan perpaduan dan jati diri anak bangsa.

"Maka, Pas Johor menyokong dasar KPM yang dilihat komited untuk bersama-sama membina Malaysia yang memiliki persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap warisan kebangsaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Penggunaan khat, tulisan jawi di sekolah boleh diteruskan: PM