Lelaki dijel dua tahun baling lesung batu, ugut bunuh bapa

Tertuduh dihukum penjara dua tahun di Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku salah membaling lesung batu dan mengugut mahu membunuh bapanya.
Tertuduh dihukum penjara dua tahun di Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku salah membaling lesung batu dan mengugut mahu membunuh bapanya.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah majistret di sini hari ini atas kesalahan membaling lesung batu selain mengugut mahu membunuh bapanya dalam kejadian yang berlaku di Kuala Besar, 26 Julai 2019 lalu.

Hukuman berkenaan diputuskan Majistret Kamarul Hasyime Rosli terhadap tertuduh Mohamad Syamrizal Mohd Salleh, 23, selepas dia mengaku salah terhadap tuduhan yang dikemukakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 29 Julai 2019.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai nelayan itu didakwa membaling lesung batu dan mengambil kapak untuk menetak bapanya yang berusia 65 tahun sambil mengugut 'aku bunuh mu' di sebuah rumah pada jam 2.30 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengamuk selepas ditegur oleh ibunya kerana nasi yang tumpah dan ditegur pula oleh bapanya.

Secara tiba-tiba tertuduh mengambil lesung batu dan membaling ke arah bapanya namun nasib baik berjaya dielak.

Tertuduh kemudian mengambil kapak dan cuba menetak bapanya itu bagaimanapun dihalang oleh adiknya sebelum dia meninggalkan rumah.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan tindakan membaling lesung tersebut boleh menyebabkan kecederaan kepada bapanya.

“Saya mohon hukuman yang dapat memberi keinsafan kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.