Johor catat kes buang bayi paling tinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor melahirkan kebimbangan dengan statistik pembuangan bayi yang menunjukkan Johor merekodkan kes paling tinggi di negara ini.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata, Johor Bahru mencatatkan kes paling tinggi dengan 13 kes setakat bulan lalu bagi tahun 2019.

"Kerajaan negeri amat mengambil berat dan memandang serius terhadap statistik yang menunjukkan paling banyak kes pembuangan bayi di negeri ini.

"Menurut rekod polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, statistik bayi dibuang bagi tahun 2019 sebanyak 13 kes dengan Johor Bahru paling tinggi, diikuti Batu Pahat dan Kulai.

"Biasanya bayi yang dijumpai telah meninggal dunia tidak akan dirujuk kepada JKM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan mana-mana remaja yang mengalami kelahiran luar nikah segera mendapatkan bantuan melalui talian Kasih 15999 pada bila-bila masa atau pihak JKM bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, pembuangan bayi bukan cara menyelesaikan masalah sebaliknya ia akan membahayakan nyawa bayi atau mengakibatkan kematian bayi tersebut.

"Anak-anak muda juga perlu diberi maklumat tepat supaya dapat membendung masalah pembuangan bayi kerana segala usaha sepatutnya bermula daripada pendidikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Cai Tung, sehingga kini pelbagai program dan kempen telah dianjurkan dalam kalangan pelajar dan anak muda bagi mengatasi masalah pembuangan bayi di negeri ini.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 melalui Belanjawan 2019 untuk jalankan Program Diriku Permata Berharga (Dermaga) yang mendidik masyarakat tentang pentingnya kesihatan reproduktif atau implikasi kehamilan.

"JKM turut adakan program Seminar Pencegahan Pembuangan Bayi bersama 70 peserta yang terdiri daripada kaunselor sekolah, hospital dan pelbagai agensi seperti polis, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPKKN).

"Program seumpama ini perlu diadakan lebih kerap memandangkan kes pembuangan bayi semakin bertambah," katanya.

Katanya lagi, program Generasi Ku Sayang (GKS) yang diwujudkan di negeri ini sejak 2014 untuk membantu remaja hamil luar nikah kini merekodkan 109 pelatih.

"Program GKS ini bagi mengelakkan kematian bayi dan ibu sepanjang kehamilan dan setakat ini ada 109 pelatih berusia antara 16 hingga 20 tahun.

"Bagi tahun ini ada tujuh pelatih di GKS Johor di mana pelatih diberi bimbingan kaunseling, agama dan cara menjaga bayi sepanjang berada di pusat berkenaan sehingga bersalin," katanya.