Usul undi tak percaya MB Selangor: Ini jawab ADUN

Amirudin - Foto Bernama
Amirudin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya tak tahu-menahu tentang perkara ini," demikian reaksi ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mengenai dakwaan wujudnya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Azmizam
Azmizam

Azmizam berkata, beliau sendiri tidak mengetahui tentang perkara ini walhal beliau merupakan seorang ADUN.

"Terus terang saya tak tahu, bila awak (wartawan) telefon baru saya dengar tentang ini, semuanya berlaku dengan baik, sidang dewan sebelum ini pun berjalan dengan lancar.

"Saya pun terkejut apabila dengar perkara macam ini, setakat ini Alhamdulillah keadaan baik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Speaker nafi usul undi tak percaya ke atas MB

Shatiri Mansor (gambar kiri) dan Azmizam
Shatiri Mansor (gambar kiri) dan Azmizam

Kenyataan itu disokong ADUN Kota Damansara, Shatiri Mansor yang menegaskan tidak ada usul undi tidak percaya ke atas Pengerusi PKR Selangor itu.

Artikel Berkaitan:

"Memang tak ada langsung, urusan semua berjalan dengan lancar. Cumanya saya agak sedikit kecewa sebab persidangan kali ini agak singkat, banyak soalan tak terjawab terutamanya soalan lisan," katanya.

Ditanya tentang punca persidangan dewan kali ini begitu singkat, Shatiri berkata "saya terkejut sebab singkat... sebab apa singkat itu saya tak tahu."

ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri juga berkata tidak tahu-menahu mengenai usul undi tidak percaya terhadap Amirudin itu dan hairan dari manakah berita itu didengar.

"Saya tak tahu, semuanya berjalan dengan lancar, mana awak (wartawan) tahu tentang perkara ini.

"Semua ini sekadar khabar angin," katanya.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang hanya berlangsung selama dua hari sebelum ini ditangguhkan kelmarin didakwa tiada kaitan dengan desas-desus usul undi tidak percaya terhadap Amirudin.

Terdahulu, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim menegaskan, penangguhan berkenaan tiada kaitan dengan usaha untuk menjatuhkan kepimpinan sedia ada di peringkat negeri.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan sebaliknya menjelaskan, penangguhan dilakukan kerana waktu perbahasan singkat dan ramai ADUN tidak hadir.

"Perbahasan usul ADUN yang mengambil bahagian tak ramai dan masa tiba-tiba pendek.

"Biasanya satu usul mengambil masa lebih setengah jam tapi semalam satu minit pun dah habis perbahasan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.