Pekerja buruh maut ditikam rakan senegara

Mayat mangsa ditemui di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan Jalan Bemban/Kampung Pisang, Batu Gajah semalam. (Gambar kecil, Ahmad Adnan)
Mayat mangsa ditemui di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan Jalan Bemban/Kampung Pisang, Batu Gajah semalam. (Gambar kecil, Ahmad Adnan)
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang pekerja buruh binaan warga Indonesia maut dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah rumah kongsi di kawasan tapak pembinaan Jalan Bemban/ Kampung Pisang di sini semalam.

Dalam kejadian antara jam 11 malam hingga 1.30 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun yang berasal dari Madura, Indonesia meninggal dunia akibat ditikam rakan senegaranya.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pergaduhan antara suspek dan mangsa dipercayai kerana salah faham sesama rakan sekerja.

“Pemeriksaan fizikal mendapati bahagian badan mangsa mempunyai kesan kecederaan akibat ditikam dengan senjata tajam.

“Senjata yang digunakan masih belum ditemui dan Unit Anjing Pengesan PDRM (K9) telah dipanggil ke lokasi bagi mengesan senjata itu. Pemeriksaan masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

Katanya lagi, pihaknya sedang mengesan suspek dan kira-kira 50 penghuni rumah kongsi berkenaan melarikan diri dalam kejadian tersebut.

“Suspek dipercayai warga Indonesia. Semasa polis tiba di lokasi kejadian pagi tadi, semua penghuni rumah kongsi berkenaan telah melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan suspek yang terlibat bagi mengetahui motif sebenar kejadian,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di talian 05-3629222.