Saranan Kit Siang keluar Malaysia berbaur cauvinis

Howard
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari agar Lim Kit Siang keluar dari Malaysia sebagai dangkal serta berbaur cauvinis.

Beliau berkata, saranan tersebut sangat tidak wajar dan dikritik memandangkan Kit Siang seorang warganegara Malaysia.

"Atas kapasiti Kit Siang selaku ahli Parlimen 12 penggal yang pernah berkhidmat di lima negeri dalam Persekutuan Malaysia beliau berhak memberikan pandangannya terhadap pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik yang kini dikehendaki negara asalnya India.

"Kita juga sedia maklum bahawa cadangan Kit Siang terhadap keberadaan Dr Zakir Naik ini bukanlah cadangan beliau secara bersendirian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kit Siang dilaporkan menyokong saranan pandangan peguam Anas Zubedy supaya Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela kerana didakwa boleh memberi kesan kepada kestabilan negara.

Susulan kenyataan Kit Siang itu, Ahmad Fadhli mengeluarkan kenyataan bahawa Kit Siang yang sepatutnya keluar Malaysia dan bukan Dr Zakir Naik.

ARTIKEL BERKAITAN: Status Zakir Naik buat Malaysia serba salah: Dr Mahathir

Katanya, sejak Januari 2018, kerajaan India mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa pulang Dr Zakir Naik bagi berhadapan dengan dakwaan pengubahan wang haram berjumlah

RM115.66 juta dan adalah tidak wajar untuk sebuah negara berdaulat seperti Malaysia untuk terperangkap di dalam situasi seperti itu.

"Sekiranya benar Dr Zakir Naik tidak bersalah beliau seharusnya pulang ke India secara sukarela bagi membersihkan nama baiknya tanpa melibatkan Malaysia.

"Sebesar mana pun kesalahan yang dituduh seseorang itu perlu diberi ruang untuk membela diri di mahkamah dan dalam kes Dr Zakir Naik ini, ruang tersebut tersedia untuk beliau di India dan bukanlah di mana-mana negara lain termasuk Malaysia," katanya.