Anwar tidak layak jadi PM: Abdul Hadi

Abdul Hadi bersalaman dengan orang ramai selepas kuliah Dhuha di Masjid Rusila hari ini.
Abdul Hadi bersalaman dengan orang ramai selepas kuliah Dhuha di Masjid Rusila hari ini.
A
A
A

MARANG - Pas menyifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak diangkat untuk menjadi Perdana Menteri kerana sikapnya sendiri.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebab itulah Pas mahu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus kekal memikul tanggungjawab dengan melaksanakan tugasnya.

"Macam saya sebutlah (sebelum ini) tukar Perdana Menteri bukan macam tukar kasut.

"Hendak berubah dengan senang-senang begitu sahaja mesti ada prosesnya yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian parti itu yang secara berterusan dilihat mahu Dr Mahathir terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Ahli Parlimen Marang itu berpendapat, adalah lebih baik sekiranya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu terus melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga selesai.

"Mestilah Perdana Menteri yang melaksanakan tugas itu melaksanakan tugasnya dahulu. Ini belum habis tugas hendak ambil, rebut tugas cepat sangat.

"Sepatutnya kita jangan begitu dan Pas menjadi pembangkang yang menasihat. Apa lagi dalam hal berlaku hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpandangan bahawa pemimpin PKR terbabit dilihat gagal menguruskan partinya sendiri sekali gus tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu rakyat.

"Tak boleh nak urus parti sendiri. Masalah bukan berkait dengan rakyat (tetapi) berkait dengan peribadi. Kalau bahas hal peribadi macam mana hendak urus masalah rakyat," katanya.

Sehubungan itu, parti itu tidak mahu membazirkan masa dalam isu peralihan kuasa dalam kerajaan PH tambahan ia hanya menyajikan masalah peribadi dalam kalangan pemimpin parti terbabit.

"Kita juga tidak mahu individu yang menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri sebaliknya kita mahu siapa yang rakyat pilih, siapa yang berhak (yang) dapat melaksanakan tugas dengan betul.

"Menyatakan orang ini atau orang itu lebih awal itu bukan sifat Islam. Melantik diri sendiri, menonjolkan diri sendiri itu bukan ajaran Islam. Itu lari dalam konsep Islam dalam politik," katanya.