X

Kindly register in order to view this article
!

Sidang DUN Selangor dua hari cetus tanda tanya

Rizam Ismail, Mohd Fakhrulrazi, Mohd Imran Tamrin
A
A

SHAH ALAM – Penangguhan Sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor selepas hanya berlangsung selama dua hari hingga kelmarin menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Mengikut jadual yang diberi kepada media, sidang DUN sepatutnya berlangsung selama sembilan hari bermula 29 Julai hingga 9 Ogos.

Bagaimanapun mesyuarat yang bermula Isnin lalu hanya berlangsung dua hari sehingga Rabu lalu.

Sehingga kini punca Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kedua itu ditangguhkan tidak dapat dipastikan.

Namun, desas-desus mengatakan ia dikaitkan dengan dakwaan tekanan diterima Menteri Besar, Amirudin Shari dalam kemelut kepimpinan dalaman PKR dan Selangor berikutan pertelagahan antara Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Selangor yang dilihat rapat dengan Mohamed Azmin mengadakan pertemuan dengan ADUN-ADUN PKR di negeri ini di kediaman rasminya malam tadi.

Turut hadir dalam pertemuan itu Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, beliau tidak pasti mengapa Sidang DUN Selangor yang dijadual sehingga Jumaat depan ditangguhkan kelmarin.

Menurutnya, Speaker Kerajaan Negeri lebih tahu mengapa persidangan ditangguhkan.

“Saya tak pasti kenapa mesyuarat tangguh, kita pun baru dapat tahu ia ditangguhkan semalam (kelmarin).

“Masih banyak soalan bertulis dan lisan yang belum dijawab exco kerajaan negeri dalam tempoh dua hari selepas sidang DUN bermula Isnin lalu. Namun tidak mengapa kerana soalan lisan yang belum dijawab akan dijawab melalui jawapan bertulis.

“Tak jadi masalah mesyuarat ditangguh kerana ADUN boleh tumpu kerja kat kawasan bila tak perlu hadir sidang DUN,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin pula berkata, beliau terkejut dengan pengumuman penangguhan mesyuarat itu.

Menurutnya, ia adalah diluar kelaziman kerana biasanya tempoh mesyuarat berlangsung hanya dihabiskan awal sehari atau dua.

"Kami ADUN pembangkang tidak dapat maklumat jelas mengapa sidang DUN kali ini terlalu singkat hanya dua hari.

"Soalan lisan hanya sempat dijawab sebanyak 23 soalan. Biasanya sidang DUN habis awal tetapi bukan dua hari saja berlangsung. Kalau ditetapkan dua minggu biasa habis awal dua hari," katanya.

Dalam pada itu, ADUN Sungai Air Tawar yang juga Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail turut terkejut sidang dewan ditangguhkan selepas hanya dua hari bersidang.

Sinar Harian sedang cuba mendapatkan penjelasan daripada Amirudin dan kerajaan negeri Selangor berhubung penangguhan tersebut.