Zakir Naik: Mapim harap kerajaan tidak terpengaruh desakan bukan Islam

 Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berharap kerajaan Malaysia tidak terpengaruh dengan desakan supaya pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik dihantar balik ke India.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, antara desakan itu datangnya daripada pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang menyokong Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela.

“Kit Siang mendakwa kehadiran Dr Zakir tidak produktif dan melambatkan pemulihan politik negara. Kami sangat kecewa melihat ahli politik DAP mengambil sikap prejudis terhadap Islam dan siapa yang mengembangkan Islam, sebagai menghalang pemulihan politik.

ARTIKL BERKAITAN: Status Zakir Naik buat Malaysia serba salah: Dr Mahathir

“Selama ini pengembangan Islam yang diarusperdanakan dalam pembangunan negara tidak pernah dilihat sebagai faktor merencat perubahan politik. Sebaliknya kerana Islamlah perubahan negara dapat diselamatkan daripada kekacauan dan konflik politik yang lebih ganas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azmi, pihaknya juga tidak pernah melihat pendakwah antarabangsa itu boleh memberi kesan kepada kestabilan negara.

“Kecuali mereka yang merasa tergugat mengenai hujah intelektualnya terhadap Islam yang mampu menjadi penyelamat kepada manusia, maka mereka sangat cemburu dan tidak mampu menolak keupayaan beliau berhujah secara ilmiah dan meyakinkan untuk orang menerima Islam,” katanya.

Menurut Mohd Azmi lagi, Mapim yakin keadilan tidak akan berpihak kepada Zakir Naik sekiranya dibicarakan di mahkamah India yang hanya berniat mahu menahan beliau.

Artikel Berkaitan:

“Tuduhan beliau (Zakir Naik) menghina agama lain dan ditambah lagi dituduh pencetus keganasan, telahpun ditolak oleh mahkamah di India dan pihak Interpol sendiri.

“Kini dakwaan dipindah pula kepada kesalahan pengubahan wang haram. Kami yakin keadilan tidak akan berpihak kepada Zakir Naik jika dibicarakan di mahkamah India,” katanya.

Mohd Azmi berkata, pandangan bahawa kehadiran Zakir Naik turut menyebabkan kerajaan serba salah adalah tidak boleh diterima.

“Sebaliknya ia sepatutnya dibanggakan dan beliau seharus menjadi aset kepada negara dari segi ilmu Islam. Jika tidak, masakan Zakir Naik diberi anugerah tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong di Malaysia pada 2013.

“Kenapa memilih beliau sebagai penerima anugerah ketika itu tidak timbul soal ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’?,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyifatkan status Zakir pada masa kini sebagai rumit dan menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan serba salah.

Memetik wawancara bersama media Turki TRT World, Dr Mahathir berkata, Malaysia sepatutnya tidak boleh menerima pendakwah yang menyampaikan pandangan ekstrem tentang agama atau hubungan kaum, tetapi dalam masa sama sukar untuk menghantar beliau ke mana-mana negara kerana kebanyakannya menolak.

"Malaysia memiliki penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kami tidak mahu sesiapa yang datang dan menyatakan pandangan ekstrem terhadap agama mahupun hubungan kaum.

"Daripada sudut itu, kami tidak boleh terima, tetapi daripada sudut lain sukar untuk menghantar beliau ke mana-mana negara kerana mereka tidak mahu menerimanya (Zakir)," katanya.