Siasat akaun Facebook burukkan MB Johor

Sayap parti Bersatu mengemukakan laporan polis di Balai Polis Pagoh hari ini.
Sayap parti Bersatu mengemukakan laporan polis di Balai Polis Pagoh hari ini.
A
A
A

PAGOH - Seluruh kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen hari ini menggesa pihak berkaitan menyiasat individu yang didakwa memfitnah Menteri Besar Johor di laman sosial Facebook.

Ahli Jawatankuasa Bersatu Pagoh, Nasir Md Piah berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan termasuk bertindak menyekat akaun berkenaan.

Menurutnya, menerusi hantaran dimuat naik bertarikh 3, 21, 23, 25, 27 dan 30 Julai, akaun Facebook menggunakan nama Ops Johor itu didapati menghina Datuk Dr Sahruddin Jamal bagi tujuan menghasut rakyat.

“Segala kenyataan dikeluarkan Facebook Ops Johor adalah berbentuk hasutan dan cuba memburukkan Menteri Besar Johor serta barisan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH).

“Justeru kita gesa PDRM dan SKMM mengambil tindakan agar fitnah ini dapat dikekang,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 30 individu terdiri daripada sayap Bersatu Pagoh hadir membuat laporan di Balai Polis Pagoh.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pagoh, Datuk Tahir Taat; Ketua Armada Bahagian, Zakaria Abdul Karim dan Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Ikhsan Ahmad.

Artikel Berkaitan: