Gerak hati isteri petanda suami maut nahas

No Image Caption
A
A
A

ROMPIN - Gerak hati seorang isteri mendengar deringan telefon pada tengah malam, ternyata benar apabila dia dimaklumkan suaminya antara tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 140, Jalan Kuantan-Johor Bharu di sini, semalam.

Noormawati Wagimam, 40, berkata dia tidak menjawab panggilan telefon sekitar jam 1.30 pagi itu kerana tidak mengenali nombor yang tertera pada skrin telefon bimbitnya.

"Tapi saya rasa tak sedap hati kerana jarang mendapat panggilan pada waktu itu. Tidak lama kemudian, adik ipar telefon maklumkan 'Li (nama panggilan suaminya) dan mek (mak mertuanya) sudah tiada," katanya semasa ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rompin di sini, hari ini.

Noormawati yang merupakan suri rumah menambah suaminya, Rosli Mat Daud, 38, mengikut adiknya, Rizuan, 34, ke Kelantan bagi membawa ibu mereka Rakiah Mat, 64, berjumpa doktor pakar di sana.

Pada kemalangan jam 11.50 malam itu, Rosli dan Rakiah maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Saga dipandu Rizuan terbabas lalu bertembung dengan sebuah bas ekspres yang berada di laluan bertentangan, semasa mereka dalam perjalanan pulang ke Johor.

Turut maut ialah anak Rizuan, Aidil Ashraff, lima tahun, yang disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Rompin.

Noormawati yang mempunyai tiga orang anak berusia antara dua hingga enam tahun berkata kali terakhir dia bercakap dengan Rosli ialah menerusi panggilan telefon pada jam 5 petang semalam, dan suaminya memaklumkan mereka mahu menyambung perjalanan selepas berhenti rehat di Kuantan.

Sementara itu, kakak kepada Rosli dan Rizuan, Rohana, 44, berkata ibunya perlu menjalani pemeriksaan pakar di Kelantan kerana berhasrat mahu menetap di sana selepas tiga tahun berada di Johor.

Artikel Berkaitan:

"Mek sakit buah pinggang... lebih mudah jika saya menjaganya. Tapi mek nak pulang ke Kelantan dan doktor mahu memeriksa mek sebelum memutuskan sama ada dia boleh menjalani rawatan di sana.

"Tak tahu nak cakap apa sebab hilang tiga (anggota keluarga) serentak... Ashraff juga rapat dengan saya sebab saya yang menjaganya sejak kecil semasa emaknya bekerja," katanya.

Rohana menambah jenazah Rakiah dan Aidil Ashraff akan dikebumikan di Kampung Pandan, Kangkar Tebrau, Johor manakala Rosli dikebumikan di kampung asal Noormawaati iaitu Felda Papan Timur, Kota Tinggi, Johor.

Sementara itu, isteri kepada Rizuan, Fazillah Ahmad, 34, berkata suaminya kini berada dalam keadaan koma di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

Fazillah menambah kali terakhir mereka berjumpa adalah pada pagi Sabtu, sebelum dia keluar bekerja dan Rosli menghubunginya pada sebelah petang memaklumkan mereka sudah hendak bertolak.

"Saya sempat bercakap dengan Ashraff dan dia pesan supaya buat kek Upin Ipin kerana dia nak makan selepas pulang. Dia pesan jangan lupa... saya dah buat dan memang menunggu kepulangan mereka sahaja," katanya.

Fazillah yang bekerja sebagai pembantu kedai menambah kali terakhir mereka berhubung ialah pada jam 11.30 malam dan Rizuan memberitahu sudah berada di Rompin.

"Saya ada menghantar WhatsApp kepadanya tapi tidak dijawab sehingga saya telefon semula pada jam 1 pagi. Tapi panggilan saya dijawab anggota polis memaklumkan suami terlibat kemalangan," katanya. - Bernama