Di mana ibu kandung Muhammad Iman?

Muhammad Iman Abdul Raqib
Muhammad Iman Abdul Raqib
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki di Felda Lok Heng Barat di sini mengesan ibu kandung anak angkatnya bagi membantu urusan dokumentasi di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Fadzly Nordin, 42, berkata, anak angkatnya, Muhammad Iman Abdul Raqib, 4, dijaga sejak bayi dan menganggap seperti anak kandung sendiri.

Menurutnya, Iman telah diserahkan ibu kandungnya yang tinggal di Pekan Pahang selepas melahirkan kanak-kanak tersebut.

"Saya dan isteri ambil Iman sebagai anak angkat sebab kami pada awalnya tiada rezeki anak namun selepas tiga bulan menjaga Iman, isteri mengandung.

"Bagaimanapun kami amat menyayangi Iman bahkan kami tidak sanggup kehilangannya. Oleh itu kami mahu Iman membesar seperti kanak-kanak lain boleh bersekolah dan sebagainya.

"Sebab itu kami amat memerlukan kehadiran ibu kandungnya bagi membantu proses di JKM," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, dia telah berusaha mengesan ibu kandung Iman namun sehingga kini tidak dapat dijejaki.

Katanya, segala usaha termasuklah mencari maklumat dari saudara mara terdekat bagaimanapun menemui jalan buntu kerana wanita berkenaan sudah lama tidak pulang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

"Jika boleh kami mahu uruskan segera proses pengambilan anak angkat secara sah ini kerana tidak lama lagi Iman bakal bersekolah. Jadi kami amat berharap agar ibu kandungnya dapat tampil di JKM Kota Tinggi bagi membantu melancarkan urusan ini," katanya lagi.