Kedai emas rugi RM700,000 dirompak empat lelaki

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Sebuah kedai emas di pasar raya di Bandar Seri Putra, Bangi di sini kerugian kira-kira RM700,000 selepas dirompak empat lelaki malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah, berkata ketika kejadian, tiga pekerja dan enam pelanggan termasuk seorang kanak-kanak berada di premis itu sebelum didatangi empat lelaki bertopi keledar dan bersenjatakan tukul besi dan objek menyerupai pistol.

"Seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas gagal berbuat apa-apa kerana diacu objek menyerupai pistol oleh suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sabri berkata polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.44 malam.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian yang berlaku dalam tempoh lima minit itu melibatkan empat suspek termasuk seorang yang berkawal di luar.

"Semua suspek dilihat menggunakan laluan pintu utama untuk masuk dan keluar dari pasar raya tersebut,” katanya.

Menurutnya, semua pekerja dan pelanggan berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-2714100.- Bernama

Artikel Berkaitan: