Usia 32 tahun masih dijaga seperti bayi

Nik Ajar (dua dari kanan) menemani Siti Mariana ketika anaknya itu menerima kunjungan Md Radzi (dua dari kiri) dan Rasidah (tengah) di rumah mereka di sini semalam.
Nik Ajar (dua dari kanan) menemani Siti Mariana ketika anaknya itu menerima kunjungan Md Radzi (dua dari kiri) dan Rasidah (tengah) di rumah mereka di sini semalam.
A
A
A

JELI- Meskipun usianya sudah menginjak 32 tahun, namun dirinya masih dijaga seperti bayi berikutan masalah ketidakupayaan kekal yang dihidapi sejak kecil.

Siti Mariana Yusoff tidak seperti anak-anak seusia lain apabila ditakdirkan terlantar selepas disahkan menghidap penyakit tersebut.

Ibunya, Siti Ajar Lazim, 61, berkata, sejak bayi lagi dia diserang sawan dan kerap kekejangan hingga menyebabkan sebahagian sarafnya gagal berfungsi dengan baik.

"Sejak itu dia terlantar dan perlu bergantung sepenuhnya kepada saya dan adik-beradiknya yang lain untuk menguruskan segala keperluan hariannya.

"Siangnya dihabiskan di ruang tamu ini, termasuk makan dan minum yang akan disuapkan di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Selar di sini.

Siti Ajar yang lebih dikenali sebagai Kak Moh dalam kalangan penduduk setempat berkata, anak keempat dari tujuh beradik itu petah bercakap dan tidak begitu bermasalah dari segi komunikasi.

"Dia boleh bercakap dan meminta apa yang diinginkan cuma tak boleh bangun dan bergerak, kalau nak mandikan kena angkat ke bilik air dan biasanya Kak Moh lakukan bersama adiknya," katanya.

Menurutnya, Siti Mariana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan yang digunakan untuk menampung perbelanjaan keperluan hariannya termasuk membeli lampin pakai buang.

Artikel Berkaitan:

Siti Ajar yang menjalankan kerja-kerja bercucuk tanam sebagai sumber pendapatan selepas kematian suaminya lapan tahun lalu berkata, setiap bulan kira- kira 15 bungkus pampers diperlukan anaknya itu.

"Dengan duit bantuan itulah saya sediakan keperluannya walaupun ada kala perlu ditambah dengan sumber kewangan lain," katanya.

Kedua beranak berkenaan sebelum itu menerima kunjungan Ketua Kawasan Amanah Jeli, Md Radzi Wahab dan Ketua Wanita Pakatan Harapan Jeli yang juga Ketua Wanita Amanah Jeli, Rasidah Salleh dan rombongan untuk melihat dengan lebih dekat kehidupan dijalani keluarga itu.

Sementara itu, Md Radzi berkata, pihaknya akan berusaha membantu meringankan beban keluarga Siti Ajar dan Siti Mariana dengan mengenal pasti bentuk bantuan yang dapat diberikan.

"Kita akan usahakan agar Siti Mariana dapat bantuan lain juga selepas ini sekali gus menampung perbelanjaan sehariannya," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Agro Bank Siti Ajar, 2006691000050435.