Lelaki ditahan beli minuman keras untuk 'isteri'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam yang memberi alasan membeli lima botol minuman keras untuk isteri dan keluarga mentuanya tidak menjadi apabila dia ditahan di Kampung Cina, di sini Khamis lalu.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika sedang membawa minuman tersebut dalam plastik hitam kira-kira jam 10 malam dan menjelaskan kononnya dia terpaksa mengambil hati isteri berumur 30-an memandangkan wanita itu baharu sahaja memeluk Islam dan dalam proses berubah, sambil mendakwa isterinya sebelum ini seorang kaki botol.

Bapa kepada dua anak itu turut memaklumkan, minuman keras dibeli dengan harga RM85 itu juga akan 'dihadiahkan' kepada keluarga mertuanya yang kini masih menganut agama Kristian dan dalam proses mengambil hati agar dapat menerima keluarga mereka seadanya.

Bagaimanapun, dia yang datang ke lokasi dengan menunggang motosikal bersendirian ditahan selepas gelagatnya mencurigakan, selain turut mengaku pernah ikut serta mengambil minuman tersebut.

Lelaki yang berasal dari Kuala Terengganu itu seterusnya ditangkap dan kemudian dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 23(2) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana membeli minuman memabukkan.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Azmi Arsyad berkata, tindakan lelaki itu yang sanggup membeli minuman keras adalah salah walaupun memberi alasan tidak mahu terlalu memaksa isterinya untuk terus berubah.

Katanya, sudah menjadi kewajipan kepada suami untuk membimbing pasangannya yang baharu memeluk Islam dengan usaha berterusan.

"Kegagalan mempamerkan akhlak yang baik serta tidak beramal dengan syariat Islam akan menyebabkan pasangan mualaf tersebut mempunyai tanggapan buruk tentang Islam, sekali gus membuatkan mereka menjauhkan diri daripada agama ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan situasi itu, jika berlaku masalah dalam hubungan yang kemudiannya membawa kepada penceraian, tidak mustahil pasangan itu akan kembali kepada agama asalnya kerana tidak melihat keindahan Islam sebenar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.