Tukang perabot dibelasah, dituduh cederakan lembu

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang perabot dipukul dua lelaki dikenali menggunakan kayu kerana dituduh sengaja mencederakan lembu mereka, dalam kejadian di Kampung Durian Burung, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, 31, yang baru pulang ke rumah selepas mengambil anak dari sekolah dikejutkan dengan kehadiran dua individu dikenali dalam keadaan marah-marah sambil masing-masing memegang sebatang kayu.

Menurut sumber, mangsa cuba menenangkan keadaan serta terus bertanyakan tujuan mereka datang ke rumah dengan cara baik, namun pertanyaan tersebut tidak dijawab.

"Malah mereka terus menyerang mangsa dengan senjata dibawa lalu merosakkan motosikal milik ayah mangsa yang diparkir di luar rumah dengan kayu dibawa sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.

"Dalam pergelutan itu, salah seorang daripada suspek memberitahu yang mangsa sudah mencederakan lembu peliharaan mereka menyebabkan haiwan itu sakit hari ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, tanpa memberi ruang kepada mangsa menceritakan hal sebenar, kedua-dua suspek ini terus bertindak membelasah dengan senjata dibawa di seluruh badannya.

"Mangsa bernasib baik apabila bapanya yang secara kebetulan ada di rumah dan melihat kejadian tersebut terus bertindak menghalangnya sebelum kedua-dua lelaki itu melarikan diri.

"Bagaimanapun sebelum meninggalkan kawasan rumah mangsa, salah seorang daripada mereka sempat bertindak mengugut akan mencederakan mangsa lebih teruk lagi sehingga mati pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas sumber, tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian sehingga dirinya mengalami kecederaan luka di lengan dan sakit di dada, selain takut dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan polis sejam kemudian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, kedua-dua suspek berjaya ditangkap dan kini mereka sedang direman untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.