Jumpa mayat lelaki tanpa identiti

No Image Caption
A
A
A

BATU PAHAT - Mayat seorang lelaki lingkungan umur 30 hingga 40 tahun ditemui dalam keadaan terapung di Sungai Simpang Kiri, Bukit Pasir, di sini, kira-kira jam 9.45 pagi, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Runggai berkata, mayat mangsa tanpa identiti ditemui orang awam yang berada di jeti sungai tersebut sebelum menghubungi Balai Polis Tongkang Pechah.

"Siasatan di tempat kejadian juga telah dijalankan dan mayat telah diangkat oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa.

"Fizikal mangsa tidak berbaju, memakai seluar panjang warna gelap dan memakai tali pinggang hitam putih, berkulit cerah selain muka dan mata mangsa sudah mengembang sehingga menyukarkan kerja-kerja pengecaman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa juga turut mempunyai tatu rama-rama di bahagian dada sebelah kiri dan tatu bunga di bahagian dada kanannya selain memakai cincin perak di jari kirinya yang tertulis perkataan Dolce & Gabbana (D&G).

Katanya, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Setakat ini, waris masih dikesan untuk tuntutan mayat dan mayat mangsa kini berada di Bilik Mayat Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

"Kami mohon sesiapa yang mengenali mangsa untuk datang ke Balai Polis Batu Pahat untuk membuat pengecaman dan tuntutan mayat mangsa tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: