Jawatankuasa proses digitalisasi pentadbiran Islam diumum akhir tahun

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof - Foto BERNAMA
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Penubuhan satu jawatankuasa khas akan diumumkan sebelum akhir tahun ini bagi memulakan proses pendigitalisasi pentadbiran Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata pihaknya sedang berbincang dengan beberapa pakar yang relevan dalam hal berkaitan digitalisasi sebelum nama mereka yang menganggotai jawatankuasa itu diumumkan.

Katanya bagi tujuan itu pihaknya sedang berhubung dengan beberapa entiti seperti Telekom Malaysia, PayHalal dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) yang mempunyai kemahiran mengenai konsep berkenaan.

Beliau berkata proses pendigitalan itu melibatkan semua agensi yang menguruskan hal berkaitan agama Islam dibawah kendaliannya termasuk haji dan zakat.

"Kita harap proses digitalisasi itu boleh bermula sepenuhnya awal tahun depan dengan langkah pertama iaitu pembudayaan teknologi kepada pihak yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Halal Fiesta Malaysia (Halfest Jakim) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata beliau bersedia mengemukakan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Perak Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib sekiranya siasatan polis mendapati ada unsur fitnah berlaku.

Setiausaha Akhbar menteri itu Siti Zulaikha Zulkifli hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya terhadap Mohd Khusairi serta laman Facebook yang menggunakan nama MyNewsHub kerana memuat naik poster kenyataan fitnah yang melibatkan Mujahid di media sosial.

Laporan polis itu dibuat ekoran penyalahgunaan gambar dan nama Mujahid di poster yang bertulis, "Wendy Loong hina nabi adalah kes terpencil.. Orang Islam jangan terasa hati.. Mujahid”. -Bernama

Artikel Berkaitan: