Hormati kepelbagaian kaum dan agama: TPM Singapura

Heng Swee Keat - Foto MCI
Heng Swee Keat - Foto MCI
A
A
A

SINGAPURA - Keharmonian dalam masyarakat bukan hanya penting untuk keamanan malah pembangunan di Singapura.

Kenyataan itu dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Heng Swee Keat ketika disoal tentang bagaimana rakyat Singapura dapat menghayati keharmonian kaum dan agama di negara tersebut.

“Saya sangat percaya kita perlu raikan kepelbagaian dan perbezaan ini. Tidak kira daripada segi kepercayaan atau budaya makanan, kita perlu terus berfikiran terbuka untuk menghargai kepelbagaian ini dan menerimanya dalam beberapa situasi.

“Misalnya, daripada segi agama, saya berpendapat adalah sangat penting bagi kita untuk menghormati kepercayaan agama masing-masing. Bagaimana kita melakukannya? Kami mengambil keharmonian agama dengan sangat serius. Oleh itu, adalah sangat penting bagi pemimpin agama kita memahami konteks masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ini kerana jika mereka mahu menyebarkan ekstremisme dalam bentuk agama. Jadi, saya rasa mereka telah mencemarkan kepercayaan agama terbabit yang akan turut mencetuskan konflik dengan masyarakat lain. Ia adalah situasi yang buruk untuk keamanan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui wartawan dari Malaysia yang menyertai 14th Malaysian Journalist Visit Programme anjuran Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura (MCI) pada Sabtu lalu.

Jelas Menteri Kewangan itu lagi, Singapura telah menetapkan beberapa peraturan yang jelas untuk menangani perkara seperti itu dan salah satunya adalah mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin agama yang menyebarkan fahaman ekstremisme.

“Kita juga mempunyai Pertubuhan Antara Agama (IRO) yang bekerjasama untuk mempromosikan pemahaman lebih jelas tentang agama masing-masing dan pemimpin agama juga sering bertemu bagi membincangkan tentang apa langkah boleh diambil untuk menggalakkan pemahaman lebih mendalam,” ujarnya.

Menurut Swee Keat, usaha itu perlu bermula dengan golongan muda di sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana apabila di sekolah, mereka berinteraksi dengan rakan lain yang berlainan kepercayaan dan agama. Mereka mesti belajar untuk menghargai kepelbagaian itu.

“Jadi, saya berpendapat, masyarakat kita perlu berdiri tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama kerana kita semua manusia. Kita mesti membina hubungan kemanusiaan dan menghormati kepercayaan masing-masing. Jika sebaliknya, kita juga perlu hormati itu,” tambahnya lagi.