Tiga murid nyaris diculik van putih depan sekolah

Gambar kecil: Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud
Gambar kecil: Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud
A
A
A

KOTA BHARU – Tiga murid tahun enam di sebuah sekolah di sini mendakwa nyaris menjadi mangsa culik sindiket van putih ketika keluar membeli makanan pada waktu rehat kelas tambahan di sekolah mereka di Tanjung Mas kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 11 pagi di luar pagar sekolah tersebut, apabila salah seorang daripada tiga mangsa berusia 12 tahun didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang memegang dan memeluknya.

Mangsa yang ketika itu meronta-ronta untuk melepaskan diri ternampak Van Vanette berwarna putih menghampiri mereka.

Sebaik berjaya lolos, mangsa bersama dua lagi rakannya itu berlari masuk ke dalam kawasan sekolah dalam keadaan ketakutan dan memaklumkan perkara itu kepada guru.

Laporan dibuat di Balai Pengkalan Chepa oleh guru berusia 47 tahun yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan pada jam 1.25 petang semalam dan laporan tersebut turut tular di kumpulan aplikasi WhatsApp.

Berdasarkan laporan itu, pengadu menerima maklumat daripada Penolong Kanan Kokurikulum sekolah sama bahawa tiga murid mereka nyaris diculik oleh lelaki tidak dikenali.

Guru terbabit juga sudah memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapa setiap murid terbabit dan menasihatkan mereka supaya membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada guru berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan masih berjalan dan pihak kami mengharapkan kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan culik,” katanya.