Dr Mahathir perlu jadi PM hingga akhir penggal: Azmin

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan UMNO menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

“Pendirian itu seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, dukungan bipartisan terhadap Dr Mahathir merupakan lembaran baharu dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan.

“Ini telah ditampilkan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya kepada 18 tahun.

“Sokongan tersebut adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan Dr Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, perbezaan politik sentiasa wujud dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

“Namun setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas-UMNO akan pertahan Tun M kekal PM sampai habis penggal

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pas dan UMNO akan saling bekerjasama untuk mengekalkan Dr Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Abdul Hadi berkata, perkara itu dilakukan oleh kedua-dua pihak kerana merasakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 'tidak berwajah kepimpinan orang Islam.'

Katanya, ketika ini Pas dan UMNO hanya boleh menaruh kepercayaan kepada Dr Mahathir kerana kemampuannya meskipun mendakwa PH dikuasai oleh orang bukan Islam.