Malaysia belasah Brunei 8-0 pada kempen AFF Bawah 15 tahun

Persekutuan Bola Sepak ASEAN
Persekutuan Bola Sepak ASEAN
A
A
A

PENYERANG negara Muhammad Harry Danish Mohd Haizon melakukan jaringan hatrik untuk membantu Malaysia menewaskan Brunei 8-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Bawah-15 Tahun di Chonburi, Thailand, hari ini.

Pada saingan di Stadium Institut Pendidikan Jasmani, Malaysia mendahului 5-0 pada babak pertama sebelum menambah tiga lagi gol pada babak kedua untuk mengutip tiga mata penuh, sekali gus menungguli saingan Kumpulan B.

Selain jaringan hatrik Muhammad Harry Danish, gol lain skuad bimbingan P. Maniam, dihadiahkan oleh Zubaidi Mohd Buang, Wan Muhammad Hakim, Muhammad Nabil Qayyum dan Muhammad Aliff Izwan.

Malaysia akan menentang Kemboja pada perlawanan kedua kumpulan, esok.

Maniam menyifatkan keputusan tersebut adalah permulaan baik serta jaringan hatrik Muhammad Harry Danish telah mencetuskan suasana positif dalam pasukan.

“Secara keseluruhan kami amat gembira dengan keputusan ini. Bagaimanapun, jaringan besar itu disebabkan Brunei bukan sebuah pasukan yang mantap,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pertemuan dengan Kemboja adalah ujian sebenar memandangkan pasukan lawan itu kuat dari segi fizikal dan teknikal.

Dalam perlawanan lain dalam Kumpulan B, Australia mengalahkan Kemboja 3-1 manakala penyerang Kakana Khamyok menyelamatkan maruah Thailand apabila menjaringkan dua gol untuk menundukkan Laos 2-1.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan A terdiri daripada Timor Leste, Indonesia, Myanmar, Singapura, Vietnam dan Filipina.- Bernama