Duit modal berniaga lesap

Fatimah menunjukkan laluan seorang lelaki berjalan keluar dari premisnya di Pasar Besar Kuala Berang, Hulu Terengganu sebelum didapati beg duitnya hilang.
Fatimah menunjukkan laluan seorang lelaki berjalan keluar dari premisnya di Pasar Besar Kuala Berang, Hulu Terengganu sebelum didapati beg duitnya hilang.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Hasrat seorang peniaga pakaian di Kuala Berang di sini untuk membeli stok daripada pembekal terbantut setelah wang tunai kira-kira RM1,800 ingin dijadikan sebagai modal dilarikan pencuri, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa, Fatimah Ngah yang berniaga di Pasar Besar Kuala Berang sempat melihat seorang lelaki keluar dari premisnya sebelum menyedari beg duitnya hilang.

Menurut Fatimah, 63, sebelum kejadian, dia sedang berehat selepas selesai makan tengah hari sebelum dikejutkan bunyi benda bergerak lalu menoleh ke belakang dan ternampak seorang lelaki berjalan tergesa-gesa.

"Sejurus sedari ada lelaki keluar dari premis, saya segera ekorinya beberapa langkah, namun berpatah kembali ke kedai untuk melihat beg duit kerana rasa tidak sedap hati.

"Gerak hati saya tepat setelah mendapati beg duit yang telah diletakkan di satu tempat sukar dijangkakan orang telah hilang. Saya langsung tidak sedar ketika kejadian sedangkan berlaku hanya di belakang saya sahaja.

"Rakan-rakan peniaga di sini maklumkan lelaki tersebut melarikan diri ke arah tandas lelaki, namun kami tiada bukti menuduh mana-mana individu yang keluar dari tandas itu sebagai pelaku," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di premis perniagaannya, di sini hari ini.

Fatimah turut memberitahu beg duitnya berjaya ditemui semula dalam pam tandas, namun kesemua wang tunainya lesap.

Nenek lapan cucu ini berkata, sejumlah RM1,000 baru dikeluarkan dari bank beberapa jam sebelum kejadian sebagai tambahan duit sedia ada di tangannya untuk membeli bekalan stok pakaian daripada pembekal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebelum kejadian dia berasa mengantuk sehinggakan tidur seketika di premis itu dan selepas terjaga tidak lama kemudian, dia terus makan tengah hari sebelum dikejutkan dengan kejadian curi.

"Sepanjang 30 tahun berniaga, kejadian ini pertama kali dihadapi dan saya tertanya-tanya macam mana langsung tidak menyedarinya sedangkan hanya berlaku di belakang saya.

"Bagaimanapun kejadian curi bukanlah kali pertama berlaku di Pasar Besar Kuala Berang ini, sebaliknya telah kerap terjadi bukan sahaja di bahagian barang basah tetapi juga premis perniagaan pakaian.

"Kalau boleh, saya cadangkan pihak berkaitan dapat memasang kamera litar tertutup di pasar ini sebagai langkah terbaik, sekali gus kurangkan risiko berlakunya kes kecurian pada masa akan datang," katanya.