Taufiq Yap Naib Canselor UMS yang baharu

Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pelantikan Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu berkuat kuasa 30 Julai 2019 hingga 29 Julai 2022.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan kementerian, pelantikan Taufiq Yap adalah berdasarkan kepada kepakaran, kelayakan akademik dan pencapaian beliau semasa memegang jawatan sebelumnya sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Justeru, KPM berharap agar pelantikan ini dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau kepada kecemerlangan UMS dalam mencapai visi dan misi sebagai Universiti Komprehensif ternama.

“KPM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Prof Dr D Kamarudin D Mudin, mantan Naib Canselor UMS atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan itu mulai 18 Jun 2017 hingga 28 Julai 2019,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian percaya pelantikan beliau akan dapat memacu kecemerlangan UMS ke tahap yang lebih tinggi.

Dilahirkan pada 14 Januari 1968 di Kota Kinabalu, Sabah, Taufiq Yap merupakan Profesor di Fakulti Sains,Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kimia dari Universiti Pertanian Malaysia pada tahun1992 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di universiti yang sama pada tahun 1994.

Pada tahun1997, beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran dari University of Manchester Institute of Science and Technology, United Kingdom dalam bidang Heterogeneous Catalysis.

Artikel Berkaitan:

Beliau merupakan penerima Anugerah Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1439 Hijrah atas sumbangan aktif beliau dalam memupuk kemakmuran dan kesejahteraan Islam serta peranan beliau dalam bidang penyelidikan dan pendidikan tinggi.

Dari segi pengalaman pentadbiran peringkat universiti,beliau pernah dilantik sebagai Pengetua Kolej Kediaman dan Ketua Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Katalisis UPM.

Beliau terlibat aktif dalam pelbagai penulisan jurnal akademik, konferens dan prosiding selain mempunyai jaringan kolaboratif yang luas di peringkat antarabangsa berdasarkan pengalaman beliau ketika dilantik sebagai Felo di The Royal Society of Chemistry, United Kingdom.

Beliau juga merupakan Visiting Researcher/Professor di beberapa universiti terkemuka luar negara.

Susulan daripada sumbangan beliau kepada universiti, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UPM pada tahun 2018 dan Anugerah Penyelidik Cemerlang, Fakulti Sains UPM pada tahun 2001 sehingga 2009.