Program Gateh Cegah Jenayah dekatkan polis dengan masyarakat

Abdul Rahim (barisan belakang, tengah) merakam gambar bersama sebahagian anggota dan masyarakat setempat yang ditemui sepanjang laluan sempena Program Gateh Cegah Jenayah IPD Kuala Terengganu, semalam.
Abdul Rahim (barisan belakang, tengah) merakam gambar bersama sebahagian anggota dan masyarakat setempat yang ditemui sepanjang laluan sempena Program Gateh Cegah Jenayah IPD Kuala Terengganu, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bukan sekadar menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anggota malah bertujuan mendekatkan polis dengan masyarakat bagi mencegah kegiatan jenayah.

Begitulah mesej jelas di sebalik penganjuran Program Gateh Cegah Jenayah oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, semalam.

Seramai 40 anggota termasuk semua ketua jabatan menyertai program yang bermula kira-kira jam 9 malam dan berakhir jam 1 pagi melibatkan beberapa laluan terpilih di sekitar bandar raya di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, program itu adalah salah satu usaha polis mendekati masyarakat setempat untuk membina hubungan kerjasama sekali gus dapat membantu polis mencegah dan membanteras kegiatan jenayah di daerah ini.

Katanya, program itu juga bertujuan mewujudkan kemesraan antara anggota polis serta penduduk setempat dan memberi implikasi yang tinggi kepada anggota polis dalam menjaga keamanan serta kesejahteraan kawasan setempat.

"Selain itu, sempena program ini, hubungan anggota polis tanpa mengira pangkat juga diharap dapat dieratkan kerana kita sedia maklum kadangkala bukan senang sesama anggota berjumpa dan bertanya khabar disebabkan kesibukan tugas harian.

"Diharap program ini dijadikan sebagai platform kepada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat, masalah atau cadangan kepada pihak polis.

"Di samping itu ia menjadi platform perjumpaan dengan komuniti setempat melalui pendekatan bersemuka dan komunikasi dua hala dengan memberikan nasihat dan pandangan dalam aspek pencegahan jenayah," katanya yang turut menyertai kayuhan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Turut sama memeriahkan program timbalannya, Superintendan Suffian Sulaiman.

Program Gateh Cegah Jenayah ini melibatkan laluan berikut iaitu bermula dari pekarangan IPD Kuala Terengganu menuju ke Flat Ladang Gemilang - Dataran Syahbandar - Pasar Payang - Kampung Cina - Pulau Kambing - Losong - Kedai Runcit Puan Zainun.

Perjalanan diteruskan dari Losong menuju ke Taman Tamadun Islam - Kedai Makan Nasir dan balik semula ke IPD Kuala Terengganu.