Tidak perlu pandang perbezaan di Johor: Sahruddin

Dr Sahruddin (kanan) mencuba permainan tradisional sewaktu Program Karnival Perpaduan Di Hati Peringkat Negeri Johor 2019 di Simpang Renggam.
Dr Sahruddin (kanan) mencuba permainan tradisional sewaktu Program Karnival Perpaduan Di Hati Peringkat Negeri Johor 2019 di Simpang Renggam.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Johor tidak perlu memandang perbezaan-perbezaan yang wujud sebagai penghalang dalam membina dan mengukuhkan perhubungan di antara kaum demi perpaduan dan pembangunan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, malah, perbezaan-perbezaan itu sebenarnya adalah satu kelebihan kerana merupakan kekayaan masyarakat yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.

"Kita perlu menguruskan hal-hal perbezaan ini dengan baik dan cermat supaya tidak ada mana-mana kaum berasa kumpulan mereka dipinggirkan atau disisihkan dari apa jua hak-hak yang patut dan wajar mereka nikmati sebagai penduduk di negeri ini.

"Kita juga perlu mengambil iktibar daripada pelbagai peristiwa melibatkan perselisihan kaum yang berlaku di negara-negara lain di dunia dan sebab itu slogan 'Muafakat Itu Berkat' merupakan ideologi di negeri ini supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama di kalangan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Program Karnival Perpaduan Di Hati Peringkat Negeri Johor 2019 di Dewan Muafakat, Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Baharin Idris; Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Dr S Ramakrishnan; Pengarah JPNIN Negeri Johor, Safidah Abu Samah dan Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu.

Menurutnya, Johor juga perlu mempertahankan perpaduan yang telah dipupuk sejak sekian lama selain negara ini turut dijadikan contoh dan dirujuk sebagai sebuah negara membangun yang berjaya menguruskan perpaduan dengan baik.

"Kita di Johor amat terbuka dalam menerima cadangan serta pandangan dari pemimpin mahupun rakyat bagi menambah baik kemajuan serta kesejahteraan di negeri ini dan kerajaan Johor sentiasa mendukung pelbagai usaha yang diketengahkan demi kesejahteraan negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kemajuan di Johor bukan sahaja diukur daripada kepesatan pembangunan ekonomi sahaja, tetapi juga dari aspek perpaduan antara rakyat yang berbilang kaum kerana kepentingan semua kaum di negeri ini perlu dijaga dengan adil dan saksama," katanya.

Sementara itu, dalam sidang medianya, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan projek stesen sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di Bukit Payong, Batu Pahat selepas berjaya menutup Tapak Pelupusan Ladang CEP 1 Renggam berkuat kuasa 26 Mac lalu berikutan laporan limpahan air larut resap ke sungai berhampiran.