Syarat Skim Kereta Api Projek LRT Bayan Lepas didedah

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mendedahkan 30 syarat kelulusan berhubung permohonan melaksanakan Skim Kereta Api Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas yang diluluskan Agensi Pengangkutan Darat Awam (SPAD).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kelulusan bersyarat itu diterimanya melalui satu surat rasmi dari Ketua Pengarah APAD, Azlan Shah Al Bakritara syarat pada 18 Julai lalu.

Menurutnya, antara syarat yang dikemukakan ialah kerajaan negeri perlu melaksanakan pemeriksaan awam untuk tiga bulan bermula dari tarikh notis terakhir terbitan iklan dalam akhbar.

"Selain itu, kedudukan jajaran, lokasi stesen, depot, butiran teknikal dan jenis sistem bagi Projek LRT Bayan Lepas adalah seperti Kelulusan Bersyarat Skim Kereta Api bagi tujuan pemeriksaan awam.

"Kerajaan negeri juga perlu mendapatkan maklum balas daripada orang awam dan pihak berkepentingan bagi jajaran melalui bahagian hadapan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar sepanjang tempoh pemeriksaan awam dijalankan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri diwajibkan mengadakan rundingan dan mendapatkan maklum balas daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung lokasi Stesen Lapangan Terbang Pulau Pinang bagi memastikan jarak dan kemudahan sambungan bersifat kondusif.

"Rundingan itu bagi memastikan ia bersesuaian untuk pergerakan penumpang di antara stesen dan terminal lapangan terbang. Kerajaan negeri juga berunding dan mendapatkan maklum balas MAHB berhubung laluan jajaran yang terletak di bahagian selatan lapangan terbang berhampiran Kampung Selamat.

"Selain itu, kerajaan negeri perlu mengemukakan pelan komunikasi bagi pemeriksaan awam dan perlaksanaan projek ini kepada APAD dan mengemukakan buku rujukan yang mengandungi nama pemilik dan penerima pajak tanah sebelum memulakan pemeriksaan awam selain memastikan segala urusan pengambilan balik tanah mematuhi keperluan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua maklum balas daripada orang awam, kerajaan negeri, Pusat dan agensi atau badan bukan kerajaan yang terlibat perlu diselesaikan dengan baik.

"Kita juga perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi Kajian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) yang dijalankan ini dengan mengemukakan salinan surat kelulusan sebagai sokongan kepada Kelulusan Muktamad Skim Kereta Api dan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

"Ia sebagai sokongan kepada Kelulusan Muktamad Skim Kereta Api memandangkan lokasi depot dan sebahagian jajaran akan dibina di dalam kawasan PSR ini," katanya.

Azlan berkata, kerajaan negeri perlu mengemukakan aku janji bertulis beserta bukti kelulusan, nasihat dan sokongan daripada agensi dan badan kerajaan berkaitan bagi cadangan tanah tebus guna PSR kepada APAD.

"Kerajaan negeri juga perlu melantik jurutera perunding bebas sebagai salah satu pihak di dalam struktur organisasi projek bagi memastikan proses semak dan imbang untuk perlaksanaan projek ini dapat dijalankan dengan baik.

"Selain itu kita perlu memastikan struktur landasan, stesen, depot, limbung (yard), jambatan, infrastruktur sistem, laluan akses keluar masuk ke stesen dan bangunan lain berkaitan mesti direka bentuk lebih tinggi daripada aras banjir tertinggi yang pernah direkodkan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan tentang kelulusan bersyarat berhubung Skim Kereta Api Projek LRT Bayan Lepas dan menghargai keputusan dari kerajaan Pusat itu.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang komited untuk mematuhi semua syarat yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Kelulusan bersyarat Skim Kereta Api Projek LRT Bayan Lepas itu dibuat di bawah Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Projek LRT yang juga salah satu komponen dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) itu dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

Sebelum itu, Kerajaan Pulau Pinang telah memohon kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk laluan LRT dari Bayan Lepas ke Georgetown sejak 2016.