Tabung kebajikan bantu skuad Olimpik 1972

Presiden Kelab Diraja Selangor Sylvester Devaraj Anthony (tiga, kanan) bersama Soh Chin Aun (dua, kiri) pada Majlis Pelancaran Tabung Kebajikan Pasukan Bola Sepak Olimpik 1972, di Kelab Diraja Selangor hari ini. - Foto Bernama
Presiden Kelab Diraja Selangor Sylvester Devaraj Anthony (tiga, kanan) bersama Soh Chin Aun (dua, kiri) pada Majlis Pelancaran Tabung Kebajikan Pasukan Bola Sepak Olimpik 1972, di Kelab Diraja Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BEKAS pemain bola sepak era 70-an, berharap tabung kebajikan khas yang diwujudkan akan mendapat sambutan dan sumbangan orang ramai, bertujuan membantu bekas pemain skuad Olimpik 1972 yang berada dalam kesusahan.

Bekas pemain pertahanan negara, Datuk Soh Chin Aun berkata langkah mewujudkan tabung itu adalah satu usaha yang baik sebagai menunjukkan tanda penghargaan kepada wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia ketika itu.

"Mungkin kita bermula dengan sumbangan kecil tetapi berharap masyarakat akan membantu dan menyokong usaha murni ini. Biar kita buktikan bahawa kita dapat melakukan sesuatu untuk membantu rakan kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Tabung Kebajikan Bola Sepak Olimpik 1972 di Bukit Kiara, hari ini.

Bekas pemain skuad kebangsaan era 80-an, Datuk Santokh Singh pula berkata tabung ini wajar diwujudkan kerana pemain pada masa dahulu tidak mempunyai pendapatan yang tinggi seperti pemain sekarang.

Katanya, dengan sumbangan yang diberikan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu bekas pemain dalam menjalani kehidupan seharian.

Sementara itu, pengasas kepada penubuhan tabung, Thomas Samuel menjelaskan bahawa idea penubuhan tabung khas itu selepas melihat nasib bekas pemain yang sudah uzur dan mengalami masalah kewangan.

"Ramai daripada wira bola sepak kita berusia lebih 70 tahun dan tabung ini akan digunakan untuk membantu kos perubatan atau sebarang tragedi yang dilalui oleh mereka,” katanya.

Pada pelancaran tabung kebajikan itu, sebanyak RM3,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan dan kerjasama daripada Kelab Diraja Selangor (RSC), Persatuan Bekas Pemain Negeri dan Bekas Pemain Negeri Malaysia dan Shekhinah PR.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama adalah bekas pemain negara Datuk Shukor Salleh, Datuk N. Thanabalan dan Rahim Abdullah. - Bernama