Saingan rebut kesebelasan utama Perak makin sengit

Skuad Perak membaca doa sebelum bertolak hari ini.
Skuad Perak membaca doa sebelum bertolak hari ini.
A
A
A

IPOH - Persaingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Perak bagi mengharungi aksi final Shopee Piala FA 2019 dilihat semakin sengit.

Hakikat berkenaan diakui sendiri oleh penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy apabila setiap pemain mempamerkan aksi bersungguh-sungguh untuk dinamakan dalam senarai kesebelasan utama pasukan.

Bagaimanapun menurutnya, perkara berkenaan perlu dilihat daripada sudut positif.

Katanya, ia akan memberikan lebih banyak pilihan kepada ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic untuk menamakan kesebelasan terbaik.

“Persaingan memang sengit, semua nak main final dan bagi saya perkara ini berikan lebih banyak pilihan kepada jurulatih untuk memilih kesebelasan terbaik.

“Insya-ALLAH, jika saya yang dipilih untuk diturunkan, saya juga akan memberikan aksi yang terbaik,” katanya sebelum bertolak ke Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pendapat itu dipersetujui oleh kapten Perak, Shahrul Mohd Saad yang menyifatkan kesebelasan Perak kali ini dilihat sebagai barisan terbaik bagi mengharungi aksi final Piala FA berdepan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Malah katanya, kebanyakan pemain skuad The Bos Gaurus itu juga telah pun memiliki pengalaman beraksi pada final Piala Malaysia musim lalu.

“Insya-ALLAH, kami akan cuba berikan aksi yang terbaik dan kepada semua penyokong, berhati-hati ketika memandu tak kira dari mana.

Artikel Berkaitan:

“Seterusnya sudah pastinya di stadium kita mengharapkan penyokong dapat memberikan semangat kepada kami,” katanya.

Sementara itu pemain import, Ronaldo tidak sabar untuk beraksi pada final berkenaan yang disifatkannya sebagai aksi pertamanya di hadapan seramai 80,000 penyokong.

Menurut Ronaldo, dia hanya beraksi di hadapan 60,000 penyokong ketika membantu pasukan lamanya muncul juara dua kali dalam saingan Liga Brazil sebelum ini.

“Ketika ini saya rasa sungguh teruja untuk bermain di final. Saya tahu kesemua tiket juga sudah habis dijual dan ini memberikan bayangan bahawa penyokong Perak akan memenuhi stadium.

“Saya juga akan cuba menjaringkan gol pada final kali ini, tetapi saya tidak kisah walau siapa yang akan menjaringkan gol, asalkan Perak muncul juara Piala FA dan membawa pulang trofi berkenaan,” katanya.