Tamat khidmat Rahimin tiada kaitan isu Wan Ji

Adly selepas program Hari Bertemu Rakyat di Dewan Seri Bendahara, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Adly selepas program Hari Bertemu Rakyat di Dewan Seri Bendahara, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri menafikan penamatan kontrak Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani ada kaitan isu pentauliahan berceramah Wan Ji Wan Hussin.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, isu berkenaan sepatutnya tidak timbul kerana Rahimin telah disambung kontrak selama setahun sejak Januari lalu dan akan berakhir tahun ini, namun dipercepatkan pada 31 Ogos depan.

Menurutnya, penamatan kontrak Rahimin sudah dibincangkan sejak tahun lalu dan kebetulan masa penamatan kontrak tersebut hampir sama dengan isu penceramah bebas berkenaan.

"Kami berpandangan telah tiba masa jawatan berkenaan diberikan ruang dan peluang kepada golongan lebih muda dan penstrukturan jawatan tidak hanya tertumpu dijawatan itu sahaja, malah melibatkan jabatan lain di bawah kerajaan negeri.

"Penstruktran boleh berlaku bila-bila masa dan hampir setiap bulan antaranya disebabkan faktor usia seperti kes Rahimin beliau berusia 60 tahun akhir tahun ini," katanya selepas program Hari Bertemu Rakyat di Dewan Seri Bendahara di Ayer Keroh di sini hari ini.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil berkata, setakat ini empat nama yang telah disenarai pendek bagi mengisi kekosongan jawatan menggantikan Rahimin dan keutamaan diberikan kepada kakitangan JAIM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Beliau berkata, pengalaman Rahimin boleh dimanfaatkan kepada saluran lain seperti institusi masjid untuk beliau terus memberikan sumbangan kepada masyarakat dan agama.

Terdahulu tular di media sosial sejak malam tadi mengenai Rahimin Bani yang ditamatkan perkhidmatan serta merta.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rahimin Bani yang dihubungi mengesahkan menerima pemakluman mengenai penamatan kontrak berkenaan secara lisan oleh Pengarah JAIM, Md Azhan Samat dan surat berkenaan dikeluarkan Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Kerajaan Negeri.

"Bagimanapun saya masih menunggu surat rasmi surat tamat kontrak berkenaan," katanya ringkas

Difahamkan Rahimin Bani berkhidmat dalam jabatan berkenaan lebih 20 tahun termasuk memegang jawatan sebagai pegawai hal ehwal Islam sebelum pegawai penguatkuasaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontrak khidmat Rahimin di JAIM ditamatkan?