Pudarkah sudah kasih sayang Azmin?

Mohamed Azmin - Foto Twitter Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin - Foto Twitter Mohamed Azmin Ali
A
A
A

SEPAK terajang dan pencak silat politik di Malaysia memang aneh.

Siapa sangka ‘musuh’ yang sejak berdekad dituduh rasis akhirnya boleh duduk semeja dan bersama-sama memerintah negara.

Yang pernah berseteru kerana isu memenjara dan dipenjara juga kini sedang memegang tampuk kuasa Putrajaya.

Malah yang pernah mengkafir dan dikafir pula hari ini sudah boleh berpelukan dan mengaku bersaudara.

Tidak terkecuali, kita sering melihat kejadian anak murid akhirnya ‘melawan’ guru yang memimpin tangannya memasuki kancah politik.

Pergeseran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah antara kisah guru dan murid yang kini menjadi perhatian ramai.

Mengimbau lebih 20 tahun lalu, keakraban Anwar dan Azmin memang bukan asing lagi.

Azmin yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Anwar memilih untuk kekal bersama Anwar pada tahun 1998 di saat pemimpin itu dijatuhkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Malah, Azmin adalah antara watak-watak awal dalam penubuhan PKR yang berjuang di atas dakwaan konspirasi dan ketidakadilan ke atas Anwar.

Hari ini, coretan kisahnya sudah berbeza.

Murid akhirnya melawan guru yang pernah dihormatinya. Dan guru juga tidak mahu memberi muka kerana telah lama menunggu masanya.

Akhirnya sejak beberapa minggu lalu, suhu panas kedua-dua kem PKR bagaikan sudah gagal untuk dibendung lagi.

Tidak cukup kedua-dua pemimpin berbalas kenyataan, penyokong mereka juga sudah pedas dan lancang dalam bicara.

Jika kem Azmin membuat dakwaan tahu dalang pembuat video intim tular, kem Anwar pula membuat kenyataan terbuka di depan balai polis menjerit ‘Azmin semburit’.

Akhirnya sejak semalam, ribut PKR memasuki fasa baharu.

Pada sebelah pagi, tiba-tiba muncul desas-desus mengatakan Azmin akan meninggalkan PKR, sementara pada sebelah petang pula sebuah portal mendakwa Azmin bakal menyertai parti Gerakan.

Mengulas mengenai isu itu, penganalisis politik Prof Sivamuragan Pandian berkata, Azmin mempunyai tujuh pilihan dalam berdepan kemelut tersebut.

Katanya, Azmin boleh kekal dalam PKR dan mencadangkan mesyuarat agung tergempar untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Keduanya, Azmin boleh menunggu pemilihan parti, namun ia bakal memakan masa hingga tiga tahun lagi memandangkan PKR baru sahaja mengadakan pemilihan parti pada 2018.

“Pilihan ketiga hingga tujuh yang Azmin boleh lakukan ialah keluar daripada PKR sama ada menjadi Ahli Parlimen bebas atau menyertai parti Pakatan Harapan lain.

“Dia juga boleh menyertai mana-mana parti lain, menubuhkan parti sendiri atau menyertai parti pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Yang pasti, semuanya kini di tangan Azmin. Ia bergantung kepada sejauh mana kasih sayang Azmin yang masih berbaki buat PKR.

Ini kerana perkembangan terbaharu menyaksikan seorang demi seorang Pengerusi PKR negeri berpaling daripadanya untuk menyatakan sokongan kepada Anwar menerusi satu dokumen khas atau kenyataan terbuka.

Hanya Selangor dan Sarawak dilihat berhati-hati menyatakan sokongan mereka.

Untuk beberapa hari ini, Azmin perlu membuat keputusan besar. Keputusan yang bakal menentukan jatuh bangun beliau dalam dunia politik tanah air.