Tourism Johor promosi permainan tradisional ke Jepun

Mohd Khuzzan (tengah) berbual dengan wakil pejabat pendidikan daerah untuk penganjuran Festival Permainan Tradisional dan Permainan Rakyat Negeri Johor ke-5 Tahun 2019 semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri bercadang memasukkan festival permainan tradisional ke dalam kalendar pelancongan negeri ini tahun depan sempena Tahun Melawat Johor 2020.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, berikutan itu, beliau bersama Jabatan Tourism Johor ke Jepun pada November depan dalam rangka usaha mempromosinya.

"Enam permainan tradisional yang akan difokuskan termasuklah congkak, diabolo dan sebagainya

"Bagaimanapun, dalam masa sama saya akan berbicang dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor untuk masukkan beberapa acara lain seperti permainan tradisi iaitu boling kelapa yang boleh kita naikkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan dana berjumlah kira-kira RM80,000 untuk penganjuran Festival Permainan Tradisional dan Permainan Rakyat Negeri Johor ke-5 Tahun 2019 kepada pejabat pendidikan daerah di Yayasan Warisan Johor, di sini semalam.

Mengulas tentang festival tersebut, Mohd Khuzzan berkata, ia akan diadakan pada 15 September depan di Kompeks Warisan Sultan Abu Bakar.

"Setiap daerah akan mengadakan pertandingan di peringkat daerah sebelum menyertai di peringkat negeri yang mana daerah yang paling banyak memenangi acara yang dipertandingkan akan menjadi juara dan akan membawa piala pusingan," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang gangguan kesihatan di Pasir Gudang, beliau berkata, setakat jam 1 petang tadi tiada kes yang dirujuk kepada klinik kesihatan berhampiran.