Jalan sekitar Bukit Jalil ditutup, dilencong sempena Piala FA

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) pada sidang media mengenai Kawalan Keselamatan dan Lalu Lintas bagi Perlawanan Akhir Piala FA 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) pada sidang media mengenai Kawalan Keselamatan dan Lalu Lintas bagi Perlawanan Akhir Piala FA 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh jalan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup dan dilencongkan sempena perlawanan akhir Piala FA di antara Kedah dan Perak, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, penutupan jalan itu bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai menuju ke stadium untuk perlawanan yang dijadual berlangsung pukul 9.00 malam.

Jalan yang terbabit adalah dari arah Lebuhraya Shah Alam (Kesas) ke lampu isyarat Sukom, Seri Petaling ke Jalan Merah Chagar, Kesas ke Jalan Barat, lampu isyarat Awan Kecil ke Jalan Barat, susur Awan Besar ke lampu isyarat Awan Kecil, lampu isyarat Technology Park Malaysia (TPM) dari arah Bulatan Kuda dan lampu isyarat TPM dari arah Kinrara.

"Orang ramai dinasihat menggunakan pengangkutan awam seperti LRT ke stadium kerana parkir terhad... boleh juga amalkan konsep perkongsian kenderaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

"Kepada mereka yang tidak berhasrat untuk menonton perlawanan di situ dinasihatkan agar tidak melalui jalan di sekitar Bukit Jalil,” katanya pada sidang media kawalan keselamatan dan lalu lintas perlawanan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan turut memberi amaran kepada penonton supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium serta sentiasa mematuhi arahan polis.

"Sekiranya ingkar, tindakan saman dan kenderaan akan ditunda ke Balai Polis Bukit Jalil," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: