Sombong 'kepala' segala keburukan

Tiada sebab untuk kita bersifat sombong kerana takabbur merupakan satu daripada antara sifat-sifat ALLAH yang menciptakan segala makhluk di muka bumi. -Gambar hiasan
Tiada sebab untuk kita bersifat sombong kerana takabbur merupakan satu daripada antara sifat-sifat ALLAH yang menciptakan segala makhluk di muka bumi. -Gambar hiasan
A
A
A

JULIA, 20-an (bukan nama sebenar) dan suaminya, Fariz (bukan nama sebenar) singgah ke sebuah pasar raya. Dipendekkan cerita, mereka bertanyakan sesuatu kepada seorang mak cik pembantu kedai di situ.

Mak cik Esah (bukan nama sebenar) membalas dengan penuh tertib pertanyaan pasangan berkenaan. Cuma, suaranya agak garau akibat sakit tekak.

Namun, Julia dan Fariz, 20-an, menganggap kata-kata mak cik Esah begitu biadap kerana menjawab dengan suara yang kasar. Lalu, mereka pun mengadu kepada tuan kedai.

Wanita berusia separuh abad itu kemudian dipanggil. Kepada majikannya, penjelasan diberikan dan beliau memberitahu tentang sakit tekak yang dialaminya.

Malangnya, Julia dan Fariz enggan menerima alasan tersebut. Fariz sebaliknya secara tiba-tiba meludah. Ia terkena betul-betul pada pipi mak cik Esah. Beliau termangu-mangu sendirian. Tanpa rasa bersalah, pasangan itu terus meninggalkan pasar raya itu. Mak cik Esah pula diberi kata dua oleh majikannya.

Selang beberapa hari, Julia jatuh sakit dan mukanya herot. Tidak diketahui apa punca sakitnya yang menyerang Julia secara tiba-tiba.

Pasangan suami isteri itu melakukan solat sunat taubat, tetapi ada rasa sesuatu yang kurang enak dalam hati mereka. Mereka tidak pasti apa yang membelenggu rasa hati mereka, namun tiba-tiba Fariz teringatkan mak cik pembantu kedai itu.

Lalu dia mencari Esah warga emas itu dan memohon maaf atas perlakuannya dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Saya minta maaf mak cik. Saya sombong dan fitnah macam-macam. Balasannya Tuhan bagi tunai sekejap sahaja," ujar Fariz sambil menitiskan air mata penyesalan.

Kata mak cik Esah; "Mak cik sudah lama maafkan. Urusan dan musibah yang berlaku bukan daripada mak cik. Mungkin antara anak dengan Tuhan."

Itu kisah benar yang berlaku seperti diceritakan seorang rakan kepada penulis baru-baru ini.

Benar, sikap sombong lelaki berkenaan bukan sahaja memakan diri malah merugikan dirinya sendiri.

Untuk apa kita bersikap sombong? Walhal, dunia hanya bersifat sementara. Di alam akhirat nantilah yang kekal selama-lamanya buat kita. Bahkan, sifat sombong begitu dilarang dalam agama Islam.

Kenapa ia ditegah dan bagaimana untuk mengikis sifat itu daripada bersarang dalam diri kita?

Tidak menerima kebenaran

PU FAIZ
PU FAIZ

Bagi menjelaskan tentang pengertian sombong, Sinar Islam mendapatkan pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz.

Ujar agamawan itu, sombong atau takabbur ertinya tidak menerima kebenaran, rasa tinggi diri, mulia dan memperlekehkan orang lain.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Sombong ialah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (Riwayat Muslim)

Jelas beliau, ia sepertimana yang berlaku kepada iblis tatkala diperintahkan ALLAH SWT untuk tunduk sujud menghormati khalifah-Nya, Nabi Adam AS.

"Oleh sebab iblis dalam hatinya berasa dirinya lebih baik daripada Adam, maka dia enggan berbuat demikian. Itu ialah permulaan kepada takabbur," katanya.

Bukan itu sahaja, kata PU Faiz, sifat takabbur iblis juga sudah dilihat apabila mereka hanya mendoakan malaikat supaya diselamatkan daripada menjadi makhluk yang dilaknat oleh ALLAH.

"Ketika malaikat melihat ada satu nama yang dikutuk ALLAH SWT di Luh Mahfuz sampai hari kiamat, para malaikat meminta iblis mendoakan agar mereka diselamatkan daripada dilaknat ALLAH.

"Iblis mendoakan untuk malaikat, tetapi tidak untuk dirinya sendiri. Dari situ sebenarnya iblis sudah bersifat takabbur kerana dia merasakan dirinya selamat, tetapi tidak makhluk lain," jelas beliau.

Ketika zaman Nabi Muhammad SAW, PU Faiz menjelaskan, Abu Lahab dan Abu Jahal antara individu yang sombong.

"Mereka tahu kebenaran (ajaran) Nabi Muhammad SAW. Bahkan, pada waktu malam, mereka inilah yang menumpang dengar Rasulullah membaca al-Quran kerana (merasakan) Rasulullah SAW tidak menipu.

"Bagaimanapun, kenapa mereka tidak mahu masuk Islam? Kerana sifat takabbur tadi iaitu menolak kebenaran dan menghina manusia," jelas beliau.

Sifat ALLAH

Kenapa umat Islam ditegah bersifat sombong? Kata PU Faiz, ia kerana takabbur ialah satu nama daripada sifat-sifat ALLAH SWT.

Disebabkan itu, jelas beliau, ALLAH sangat murka kepada hamba-Nya yang mengambil nama dan sifat-Nya.

Ia sebagaimana diriwayatkan dalam satu hadis qudsi. Rasulullah SAW bersabda: "Takabbur itu ialah sifat-Ku dan kemegahan dan kebesaran itu ialah pakaian-Ku (sifat-Ku) juga. Maka barang siapa yang mengambil salah satu daripada keduanya, akan Kucampakkan dia ke dalam api neraka dan Aku tidak peduli." (Riwayat Abu Daud, Muslim dan Ibnu Majjah)

Menurut agamawan itu, sombong merupakan satu daripada sifat mazmumah yang dicela oleh syarak.

"Setiap manusia yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain, itu ialah permulaan kepada takabbur. Sedahsyat-dahsyat takabbur ialah menghina orang lain iaitu kemuncak bagi sifat itu sepertimana yang dilakukan iblis terhadap Nabi Adam AS," ujar beliau.

PU Faiz yang juga Ketua Tanfiziyah Pertubuhan Nahdlatul Ulama Malaysia menjelaskan, takabbur merupakan satu dosa besar dan tempat yang selayaknya bagi mereka ialah neraka.

Firman ALLAH SWT: "Dikatakan kepada mereka; "Memasukilah pintu-pintu neraka jahanam itu, (kamu) kekal di dalamnya." Maka (neraka jahanam) itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang yang menyombongkan diri." (Surah al-Zumar, ayat 72)

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat biji sawi." (Riwayat Muslim)

"Sesungguhnya, banyak keburukan sifat sombong kerana ia 'kepala' kepada segala keburukan," jelas beliau.

Dicela

USTAZ HANAFI
USTAZ HANAFI

Sementara itu, pendakwah Ustaz Hanafiah Abd Malek menjelaskan, sifat sombong berbahaya kepada orang Islam kerana ia merupakan sifat pertama dicela di sisi ALLAH.

Tokoh agama itu turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang yang sombong kepada ALLAH SWT meskipun belum pernah memasuki syurga-Nya.

"Iblis jadi makhluk yang terkutuk dan dibuang daripada syurga ALLAH. Lebih hina lagi manusia kerana manusia belum pernah masuk syurga tetapi sudah sombong kepada ALLAH," ujar beliau.

Bukan sahaja dibenci oleh ALLAH, Ustaz Hanafiah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi menjelaskan, bersifat sedemikian juga menyebabkan kita menjadi pengikut iblis.

"Malah, masyarakat juga akan membenci kita dan balasan dimasukkan ke dalam api neraka," jelas beliau.

Untuk mengikis perasaan sombong yang bersemayam dalam hati, agamawan itu menasihatkan supaya kita berbuat baik dan membantu orang miskin secara terus.

"Dengan melihat hidup si miskin secara terus akan melahirkan perasaan lembut di hati, simpati dan bersyukur. Selain itu, jadikan zikir sebagai amalan harian kita," ujar beliau.