Pekerja kilang rugi RM45,000 ditipu sindiket Love Scam

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pekerja kilang mengalami kerugian RM45,000 selepas diperdaya sindiket Love Scam melalui pelaburan saham di media sosial.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia 53 tahun mendakwa mengenali suspek dipercayai seorang lelaki melalui media sosial sejak sebulan lalu.

"Suspek menawarkan keuntungan dua kali ganda sekiranya mangsa menyertai pelaburan itu bermula dalam kejadian pada19 Julai lalu.

"Disebabkan percaya dengan kata-kata suspek, mangsa terpedaya dengan membuat tiga kali pembayaran ke akaun suspek berjumlah RM45,000 dan dimaklumkan akan menerima wang yang dilaburkan dengan keuntungan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, semalam mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada suspek memaklumkan terdapat masalah menyebabkan kelewatan menghantar wang berkenaan kepadanya.

"Mangsa diminta memasukkan wang berjumlah RM70,000 ke akaun yang sama, jika tidak berbuat demikian wang tidak dapat dikembalikan.

"Mangsa seterusnya meminta bantuan kakaknya, bagaimanapun dimaklumkan akaun Facebook berkenaan dipalsukan, menyebabkan mangsa rasa dirinya telah ditipu," katanya.

Artikel Berkaitan: