ITSU lancar 50 kedai dalam tempoh 10 bulan

ITSU meraikan kejayaan melancarkan 50 kedai di tiga buah negara di Malaysia, Indonesia dan Hong Kong selepas majlis menandatangani kerjasama dengan rakan niaga antarabangsa di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
A
A

PENERAJU jenama kerusi urut terkemuka ITSU World Sdn Bhd (ITSU) mencipta rekod dalam industri kesihatan apabila melancarkan 50 rangkaian kedai di Malaysia, Hong Kong dan Indonesia dalam tempoh 10 bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Cheah Yew Kong berkata, pencapaian itu penting sekaligus membuktikan keupayaan syarikat menghasilkan produk baharu dan inovatif dengan gabungan teknik urutan tradisional Jepun dan teknologi moden.

“Dedikasi, komitmen, ketrampilan dan pengalaman warga ITSU adalah faktor utama kejayaan yang dicapai pada hari ini. Ia juga sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan jenama ini dalam pasaran global.

“Lebih membanggakan apabila kami berjaya melebarkan perniagaan dan mengukuhkan jenama ini di tiga buah negara iaitu di Malaysia, Indonesia dan Hong Kong,” katanya selepas majlis menandatangani kerjasama dengan rakan niaga antarabangsa di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya, misi ITSU adalah untuk memastikan setiap keluarga mempunyai sebuah kerusi urut sebagai usaha membantu mereka mengekalkan gaya hidup aktif dan sihat.

“Kami berharap setiap pelanggan di sebuah negara beroleh manfaat daripada produk-produk ITSU. ITSU membantu menghilangkan kepenatan dan tekanan selepas seharian penat bekerja. Pada masa sama meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Tambah Yew Kong, ITSU menyasarkan untuk membuka sehingga 500 rangkaian kedai di rantau Asia Pasifik termasuk negara Filipina dan Vietnam dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami optimis sasaran ini mampu dicapai didorong keupayaan syarikat membuka 50 buah kedai dalam tempoh 10 bulan di tiga buah negara. Cabaran kami kini adalah mencari lokasi yang tepat,” katanya.