Najis burung merpati: MB Johor ingatkan peka aspek kebersihan

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika menjawab soalan pemberita di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mahu semua pihak terutama pengurusan sekolah dan ibu bapa peka terhadap aspek kebersihan.

Ingatan tersebut diberikan susulan pencemaran najis burung merpati yang berkemungkinan antara faktor menyebabkan insiden gangguan kesihatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort.

Menurutnya, sejak hari pertama dilantik sebagai Exco Kerajaan Johor, beliau sentiasa menekankan keutamaan berhubung aspek kebersihan dan kesihatan.

"Takkanlah sekolah sampai burung merpati sudah banyak. Najis pun sudah berkumpul di bilik (darjah) dibiarkan sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Najis, hama merpati punca masalah kesihatan murid?

"Sekurang-kurangnya adakan gotong-royong. Mungkin kalau ibu bapa tidak mampu gotong-royong, panggil pihak PBT.

"Panggil pihak Jabatan Pendidikan untuk kita bersama bergotong-royong menjaga kebersihan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar serta Pelancaran Penjenamaan Segmen Yok Ngeteh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tinjauan Exco Kerajaan Johor di SK Tanjung Puteri Resort yang mendapati antara faktor sampingan menyebabkan insiden gangguan kesihatan adalah pencemaran najis burung merpati, baru-baru ini.

Mengulas lanjut tinjauan berkenaan, Sahruddin berkata, bacaan kualiti udara di sekolah tersebut pada ketika itu adalah normal dan pihaknya telah melihat sendiri terdapat banyak najis burung di bilik darjah itu.

"Jadi, memanglah tahi burung itu yang menyebabkan mual dan loya kepada pelajar pada ketika itu kerana udara menunjukkan tahap normal.

"Sekarang yang penting ialah macam mana semua masyarakat kita dapat bekerjasama. Menjaga kebersihan dan untuk memastikan anak-anak kita sihat," katanya.

Beliau turut berharap semua pihak terutama ibu bapa dapat bermuafakat dan bekerjasama dalam usaha menangani isu gangguan kesihatan di kawasan Pasir Gudang.

"Jangan marah, jangan tuduh menuduh kerana kemarahan sebetulnya tidak menyelesaikan masalah. Kita kena faham bahawa muafakat itu berkat.

"Apa pun kita kena muafakat. Apa pun kita kena bekerjasama. Apa pun kita kena bergotong-royong. Insya-ALLAH, dengan sikap dan kata-kata mufakat itu berkat, Insya-ALLAH semua masalah dapat diselesaikan dengan lebih baik," katanya.

Terdahulu, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar memberitahu pencemaran najis burung merpati mungkin antara faktor sampingan yang menyebabkan insiden gangguan kesihatan di SK Tanjung Puteri Resort.

Mohd Khuzzan telah mengadakan lawatan ke lokasi bersama Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan serta pengarah jabatan berkaitan susulan kes baharu gangguan kesihatan melibatkan warga sekolah terbabit.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia