Berat dugaan keluarga

No Image Caption
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang ibu lima tetap cekal menempuh dugaan selepas suaminya menghidap penyakit batu karang manakala anak sulungnya pula menghidap kanser serviks pada usia 19 tahun.

Hamidah Mohd Saki, 37, berkata, suaminya, Mazri Muhammad, 45, bekerja sebagai tukang rumah dan kini banyak berehat di rumah kerana faktor kesihatan kurang baik selepas menjalani pembedahan.

Katanya, anak sulungnya, Nurulaina Syazwani disahkan menghidap kanser serviks pula perlu berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan selepas rahimnya dibedah pada bulan lalu.

"Suami dan anak saya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat masing masing sebanyak RM400 dan RM200 sebulan namun jumlah tersebut masih tidak mencukupi.

"Saya mencari pendapatan tambahan dengan menjual kuih, mujurlah hasil jualan kuih ini dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan empat lagi anak yang masih bersekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Tunggal di sini hari ini.

Hamidah menerima kunjungan daripada Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafii yang mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Wan Yusrizal turut menyampaikan sumbangan keperluan harian dan wang tunai ketika mengunjungi keluarga Hamidah.

Hamidah berkata, mereka juga tidak mampu untuk membina rumah sendiri sebaliknya masih menumpang di rumah bapa namun keperluan mereka itu sudah mendapat perhatian pihak berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang saya menangis kerana dugaan terlalu berat untuk saya tapi saya mesti melawan, saya mesti kuat untuk menjaga keluarga ini ketika suami sedang diuji dengan penyakit dihadapinya.

"Kami sekeluarga bersyukur apabila pihak Pejabat Tanah dan Daerah memberikan perhatian mengenai keperluan rumah buat kami. Walaupun masih di peringkat awal tetapi ia melegakan kami," katanya.

Keluarganya juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan sekaligus ia mengurangkan sedikit beban ditanggung selain dapat menceriakan suami dan anak yang sedang sakit.