Penoreh getah dituduh bunuh dua warga emas

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat hari ini.
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat hari ini.
A
A
A

SEGAMAT - Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Segamat hari ini atas pertuduhan membunuh dua warga emas di pekan Buloh Kasap di sini 12 Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Huzairi Razali, 34, menghadapi dua pertuduhan membunuh Ku Cheng Liong, 75, dan Ng Wan Hong, 61, di dua lokasi berasingan.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu dituduh membunuh Cheng Liong pada 12 Julai, jam 5.50 petang di Kedai Kopi Sin Yew Yee, Nombor 12, Jalan Abdullah, Pekan Buloh Kasap.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh Wan Hong di sebuah gerai menjual buah durian di Nombor 18, Jalan Ibrahim, Pekan Buloh Kasap pada jam 6.03 petang hari yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Muhammad Huzairi didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Salina Omar.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Helmaterlidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Zubaidah memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh baharu sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat bagi kedua-dua mangsa selesai.

Artikel Berkaitan:

Salina kemudian menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes, selain turut memerintahkan tertuduh dibawa ke Hospital Permai, Tampoi untuk menjalani pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki warga emas maut akibat diserang dengan parang selepas dipercayai menjadi mangsa amukan seorang lelaki di dua lokasi berbeza di sekitar pekan Buloh Kasap.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kedua-dua mangsa merupakan pelanggan di kopitiam dan penjual buah durian maut selepas ditikam menggunakan parang sepanjang 45 sentimeter oleh suspek.

ARTIKEL BERKAITAN: Amukan parang: Reman penoreh getah lanjut enam hari