Final Piala FA: Pemuda Pas sedia tayangan skrin seluruh Kedah

Nurul Amin Hamid
Nurul Amin Hamid
A
A
A

YAN - Dewan Pemuda Pas Kedah mengambil inisiatif menyediakan tayangan skrin gergasi di seluruh negeri bagi perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak untuk mereka yang tidak berpeluang ke Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, tayangan skrin gergasi untuk siaran langsung perlawanan akhir Piala FA tersebut akan ditempatkan di semua 15 kawasan Parlimen di Kedah.

Katanya, inisiatif ini juga diambil sebagai sumber kekuatan kepada skuad Lang Merah agar mereka yakin seluruh rakyat Kedah memberikan sokongan walaupun tidak dapat bersama ketika perlawanan di Stadium Bukit Jalil nanti.

"Sungai Petani akan menjadi lokasi utama diikuti kawasan lain seluruh Kedah yang dikelolakan secara bersama oleh Dewan Pemuda Pas kawasan dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Nurul Amin, Pemuda Pas Kedah bersama penyokong dan peminat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mahukan skuad itu mengulangi kejayaan merangkul juara.

"Kami mendoakan semoga pasukan Kedah akan terus beraksi cemerlang dan merangkul kejuaraan dalam pertandingan akhir Piala FA dengan pelbagai sumber kekuatan yang dimiliki tanpa melupakan bahawa kemenangan adalah anugerah ALLAH SWT," katanya.

Artikel Berkaitan: