Kawal diri makan coklat

A
A

DI SEBALIK kelazatan coklat, jangan terus larut untuk terus menikmatinya pada kadar yang kerap lantaran ia memiliki implikasi kurang baik kepada kesihatan.

KANDUNGAN coklat hitam mengandungi mentega koko tanpa susu.
KANDUNGAN coklat hitam mengandungi mentega koko tanpa susu.

Doktor Pemakanan dan Gaya Hidup Sihat, Klinik Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu Dr Hafiz Sulaiman berkata, pada kelazimannya coklat membahayakan pada tubuh badan kerana kandungan gulanya yang sangat tinggi.

"Coklat susu dan putih mempunyai hampir 50 gram (g) gula pada setiap 100g coklat.

"Lebih kurang hampir separuh kandungan coklat jenis itu terdiri daripada gula. Maka pengambilannya harus secara sederhana," kongsinya dengan Sihat:Aktif baru-baru ini.

Kepada pesakit diabetes, golongan tersebut masih boleh makan coklat, kata Dr Hafiz.

DR Hafiz
DR Hafiz

Bagaimanapun, harus memilih coklat jenis hitam (dark) yang mengandungi 70 peratus koko dan paras gula yang lebih rendah.

"Bagi mereka yang ada alahan terhadap tiramina dan kekacang serta pesakit celiac yang alergi kepada gluten, harus berwaspada. Coklat mungkin tercemar dengan (gluten) sewaktu proses pemprosesan di kilang dijalankan," ujarnya lagi.

Dr Hafiz berkata, kandungan coklat jenis tersebut membuatkan ia tidak sesuai dimakan apabila mengandungi kafein dan teobromina (sejenis alkaloid tumbuhan yang mempunyai ciri menyerupai kafein).

Justeru, sesetengah individu yang alah dengan kedua-dua bahan itu berisiko mendapat masalah seperti sakit kepala, peningkatan degupan jantung menyebabkan palpitasi (jantung yang berdebar kencang) dan juga kerisauan.

Punca obesiti, osteoporosisPengambilan coklat berlebihan khususnya coklat tinggi gula juga boleh mengakibatkan penyakit metabolik seperti obesiti. Untuk itu, bagi mereka yang sedang proses berdiet, disarankan ambil coklat rendah gula.

Selain obesiti, penyakit lain yang biasa boleh dihidapi oleh seseorang ialah kerosakan gigi dan migrain.

"Seseorang boleh mendapat migrain jika makan coklat secara berlebihan. Kandungan tyramine, histamin dan phenylalanine yang terdapat pada koko mencetuskan penyakit itu," katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan hasil kajian The American Journal of Clinical Nutrition mendapati wanita tua yang mengambil coklat setiap hari boleh menyebabkan kepadatan tulang mereka menjadi lemah dan rapuh serta menyebabkan masalah osteoporosis.

"Pelbagai penyakit lain lebih serius boleh berlaku jika pesakit terus mengambil coklat dalam kuantiti yang banyak seperti kencing manis dan penyakit jantung," katanya.

Menurut Dr Hafiz lagi, terdapat juga coklat yang menggunakan pemanis seperti stevia dan gula alkohol (maltitol, sorbitol). Penggunaan dua bahan berkenaan boleh membantu ketagihan coklat dalam kalangan peminatnya.

Bagi golongan kanak-kanak (terutama berusia dua tahun ke bawah) yang mudah dipengaruhi dengan kelazatan coklat seperti coklat bar dan kek yang melalui pelbagai peringkat sebelum dihasilkan, tidak mengambil gula tambahan dalam makanan ataupun minuman.

COKLAT kaya dengan antioksida melambatkan proses penuaan.
COKLAT kaya dengan antioksida melambatkan proses penuaan.

Ia selaras dengan saranan Persatuan Jantung Amerika yang mahu kanak-kanak mengelak mengambil makanan yang diproses.

Meskipun demikian, jelas Dr Hafiz, coklat masih alternatif lebih berkesan untuk meningkatkan daya tumpuan berbanding minuman kafein.

ANEKDOT

Dua jenis susu di pasaran:

1. Coklat susu dinamakan demikian kerana dicampur susu, gula, pengawet dan bahan-bahan lain seperti kekacang kismis. Kandungan coklatnya antara 10 hingga 50 peratus. Bergantung pada jenis, jenama dan kategori.

2. Coklat hitam mengandungi kandungan koko lebih tinggi berbanding coklat susu. Kandungan coklatnya biasanya antara 50 hingga 90 peratus dengan bahan campuran terdiri dari mentega koko tanpa susu.

Coklat yang baik untuk dimakan dengan kandungan nutrisi tinggi ialah coklat hitam dengan kandungan coklat sebanyak 70 peratus ke atas.

Kandungan coklat hitam:

Menurut United States Department of Agriculture atau USDA, 100g coklat hitam mengandungi 7.87g protein, 12miligram (mg) zat besi, 230mg magnesium, 3.34mg zinc, 7.4 mg vitamin K, 1.1mg niacin, 2mg manganese, 34.3 mg omega 3, 11mg fosforus, 810mg theobromin dan 722mg potassium

Sumber: Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak, Dr Rizal Abu Bakar, beliau turut aktif menulis di neuroversiti.com

INFO Produk komersil koko oleh Lembaga Koko Malaysia pada tahun 2019.

Antaranya ialah:

- Pelembap bibir

- Lipstik

- Bedak asas

- Bedak asas 2 dalam 1

- Krim kaki

- Aiskrim

- Krim malam antibakteria

- Ekstrak antioksidan antibakteria

- Mikroorganisma endofitik mengawal penyakit pokok koko.

ANTARA produk komersil Lembaga Koko Malaysia.
ANTARA produk komersil Lembaga Koko Malaysia.

Antara kelebihan koko ialah:

- Menangani tekanan

- Kandungan polifenol dalam koko berupaya mengurangkan tekanan.

1. Melambatkan proses penuaan

Diet yang kaya dengan antioksida boleh memainkan peranan dalam melambatkan proses penuaan.

Kajian mendapati bahawa jangka hayat seseorang itu boleh dilanjutkan selama lima hingga 10 tahun melalui diet yang seimbang di samping kaya dengan pengambilan antioksida.

2. Kulit lebih anjal

Penggunaan lemak koko terhadap kulit dengan kerap akan menjadikan kulit lebih anjal dalam masa 12 hari.

3. Meningkatkan simulasi tenaga pada kulit

Kandungan theobromine membantu detoksifikasi tubuh. Kaya dengan phenylethylamine sejenis asid amino meningkatkan simulasi tenaga pada kulit tubuh.

4. Bukan penyebab sakit jantung

Lemak koko yang terdapat dalam coklat mengandungi asid stearik yang tidak memberikan kesan ke atas kandungan kolesterol dalam darah. Asid oleik pula menurunkan tahap kolesterol dalam darah.

SUMBER: Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, LKM, Dr Ahmad Kamil Mohd