KPDNHEP gempur premis barang tiruan

Ummi Nasrah menunjukkan barang disyaki tiruan yang dirampas dalam di pusat beli-belah, di Kuala Lumpur, semalam.
Ummi Nasrah menunjukkan barang disyaki tiruan yang dirampas dalam di pusat beli-belah, di Kuala Lumpur, semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur menggempur enam buah premis yang beroperasi menjual barang tiruan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini semalam.

Operasi Ops Barang Tiruan bermula jam 2 petang itu membabitkan 20 pegawai dan anggota serta disertai beberapa wakil pemilik cap dagang.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, hasil pemeriksaan premis terbabit, pihaknya bertindak merampas 2,006 unit disyaki barang tiruan membabitkan baju, kasut, beg tangan, dompet serta topi yang dianggarkan bernilai lebih RM82,000.

"Barangan berkenaan menggunakan jenama terkenal seperti Converse, Adidas, Nike, Puma, Vans, Fila, Louis Vuitton, Timberland, Mont Blanc, Jeep, Prada, Dior, Micheal Korrs dan Coach.

"Kita turut menahan dua pekerja lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media di Stor Simpanan KPDNHEP WPKL di Jalan Segambut di sini hari ini.

Ummi Nasrah menunjukkan barang disyaki tiruan yang dirampas dalam di pusat beli-belah, di Kuala Lumpur, semalam.
Ummi Nasrah menunjukkan barang disyaki tiruan yang dirampas dalam di pusat beli-belah, di Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, kedua-dua warga Bangladesh itu kini direman selama empat hari sehingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.

Ummi Nasrah berkata, siasatan awal pihaknya percaya kesemua barang tiruan berkenaan diimport dari luar negara sebelum dijual pada harga sekali ganda.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas lanjut tentang laporan statistik tahun ini, beliau berkata, sehingga semalam, pihaknya sudah merampas 55,797 barang tiruan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

"Malah sepanjang tempoh itu juga, seramai 17 individu warga asing serta warga tempatan ditahan kerana menjual barang tiruan berkenaan," katanya.

Tegasnya, pengguna boleh membuat aduan mengenai kegiatan berkenaan dengan menghantar emel kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my, menghubungi pusat panggilan di talian 1800886800, pusat arahan penguatkuasaan (ECC) di talian 03-88826245, MYGCC (03-80008000), WhatsApp (019-2794317) atau melaporkan terus pada 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.