Darul Quran Jakim terima pengiktirafan MBR

Pengarah Darul Quran Jakim, Dr Nordin Ahmad menerima sijil pengiktirafan daripada MBR disaksikan Fuziah dan Paimuzi, hari ini.
Pengarah Darul Quran Jakim, Dr Nordin Ahmad menerima sijil pengiktirafan daripada MBR disaksikan Fuziah dan Paimuzi, hari ini.
A
A
A

HULU SELANGOR - Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBR) bagi Penulisan al-Quran 30 Juzuk Teramai membabitkan 731 peserta di kompleks pusat tahfiz itu petang tadi.

Penyerahan sijil pengiktirafan itu disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh sempena Majlis Perasmian Ihtifal Huffaz Peringkat Kebangsaan dan Ekspo Konvokesyen Darul Quran 2019.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jakim, Datuk Paimuzi Yahya.

Peserta program terdiri daripada pelajar maahad tahfiz dari seluruh negara yang menjalinkan kerjasama dengan Darul Quran Jakim bagi program Diploma Tahfiz Al-Quran.

Penulisan al-Quran bagi kesemua 30 juzuk yang dilakukan secara hafazan itu berjaya disempurnakan dalam tempoh masa satu jam 30 minit.

Fuziah dalam ucapan perasmian berkata, pembelajaran tahfiz memberi nilai tambah kepada pelajar selepas tamat pengajian dan berkhidmat di pelbagai bidang profesional.

Menurutnya, kerajaan meneruskan pelaksanaan dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang ditambah baik dengan mewujudkan Majlis Pendidikan Tahfiz Negara.

"Kerajaan juga menyalurkan bantuan berjumlah RM50 juta kepada maahad tahfiz swasta pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian Pendidikan turut membuka ruang kepada pelajar tahfiz melanjutkan pengajian di universiti tempatan atau luar negara," katanya.