Jualan tiket suram di Darul Aman

Seorang penyokong Kedah, Khairul Azhar Yahya menunjukkan tiket yang dibeli tanpa perlu bersesak-sesak di kaunter tiket Stadium Darul Aman pagi ini.
Seorang penyokong Kedah, Khairul Azhar Yahya menunjukkan tiket yang dibeli tanpa perlu bersesak-sesak di kaunter tiket Stadium Darul Aman pagi ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Jualan tiket final Piala FA di Stadium Darul Aman di lima kaunter tiket yang dibuka pada jam 10.30 pagi tadi kelihatan suram dengan kehadiran kira-kira lebih 2,000 penyokong sahaja.

Tidak seperti jualan tiket final Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 2017 apabila penyokong Lang Merah terpaksa berebut untuk membeli tiket dan habis dalam tempoh lebih kurang sejam kemudian selepas kaunter tiket dibuka.

Seorang penyokong, Mohd Alif Azlan berkata, penyokong mampu membeli tiket dengan tenang pada pagi ini dan tidak perlu lagi bersesak-sesak sehingga ada mendatangkan kecederaan seperti tahun-tahun terdahulu.

"Sejarah tahun ini apabila penyokong tidak perlu bersesak-sesak untuk mendapatkan tiket final sebaik tiket kaunter dibuka.

"Saya rasa, antara faktor kurang sambutan mungkin disebabkan pemain import Kedah yang kurang ok berbanding pemain import pada tahun-tahun lalu," katanya.

Menurutnya, penyokong juga mahu melihat kualiti seseorang pemain itu selain melihat pasukan mempamerkan corak permainan yang meyakinkan pada setiap perlawanan.

Seorang lagi penyokong, Mohd Nazrul Hafiz melihat kesuraman tersebut disebabkan ramai yang memilih untuk mengikuti rombongan bas ataupun van seperti yang disarankan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Menurutnya, dia juga mengikuti rombongan kerana mempunyai perlindungan insurans dan keselamatan lebih terjamin untuk perjalanan pergi dan balik.

Artikel Berkaitan:

Anas Hafiz Mustafa
Anas Hafiz Mustafa

Bagaimanapun, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa menafikan perkara berkenaan kerana tiket yang dijual di kaunter pada tahun ini lebih banyak berbanding sebelum ini iaitu sebanyak 20,0000.

Jelasnya, penyokong pastinya tidak mahu bersesak-sesak dan akan datang pada sebelah tengah hari kerana kaunter dibuka sehingga jam 4.30 petang.

"Pada kali ini penyokong sudah lagi tidak perlu untuk berebut-rebut kerana jumlah tiket yang dijual pada kali ini jumlahnya berbeza," katanya.

Dalam pada itu, KFA turut akan memohon kepada pihak Stadium Shah Alam untuk menjual tiket kepada penyokong Lang Merah pada Jumaat ini.

"Jika masih ada baki tiket di sini kita akan bawa dan jual di Lembang Klang kerana ada permintaan dan rungutan dari penyokong Kedah di sana," katanya.