Bicara kes saman FGV Holdings terhadap Isa Samad 25 November depan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman FGV Holdings Berhad terhadap bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah ditetapkan untuk perbicaraan bermula 25 November depan.

Saman itu difailkan FGV Holdings bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM7.69 juta membabitkan kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC yang didakwa dibeli dengan harga melebihi pasaran.

Peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Isa berkata, kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 25 hingga 29 November ini dan 2 hingga 4 Disember.

"Mahkamah juga menetapkan 6 Ogos untuk pengurusan kes selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar, hari ini.

FGV Holdings Berhad selaku plaintif menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia 30 November tahun lepas, menjelaskan saman yang difailkan terhadap kedua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga yang dikatakan melebihi pasaran.

Syarikat itu berkata saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol oleh Mohd Emir.

Oleh itu, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondo berkenaan dan RM3.15 juta daripada Mohd Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat serta faedah petrol.

Syarikat itu juga menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi yang diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad. - Bernama

Artikel Berkaitan: