Ah long dituduh ganggu ibu peminjam

Tertuduh diiringi polis sebaik tiba di mahkamah, hari ini.
Tertuduh diiringi polis sebaik tiba di mahkamah, hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang ejen pemberi wang tanpa lesen dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menganggu ibu kepada peminjamnya.

Tertuduh, Chong Wei Tat, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mahyun Yusof selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Wei Tat didapati telah menganggu dengan mengugut Gan Gaik, 56, supaya membayar hutang anaknya.

Perbuatan itu dilakukan pada 16 Julai lalu pada jam 8.01 pagi di sebuah rumah di Jalan RK 3/21, Rasah Kemayan di sini.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya serta boleh disebat dalam kes kesalahan kedua atau berturutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahroob.

Terdahulu, tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah diberi kepada anak guamnya atas alasan dia baru berhenti kerja dan perlu menyara tiga anak masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 7 Ogos ini.