Chong Wei harap Zii Jia-Tat Meng cipta magis

Chong Wei. - Foto Agensi (Kanan: Tat Meng. Foto Bernama)
Chong Wei. - Foto Agensi (Kanan: Tat Meng. Foto Bernama)
A
A
A

KEHADIRAN Wong Tat Meng sebagai jurulatih baharu jaguh profesional lelaki negara, Lee Zii Jia dianggap tepat pada masanya.

Malah, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei percaya Tat Meng mampu memperbaiki prestasi Zii Jia dalam mengharungi pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Bagi saya, ini satu petanda positif buat Zii Jia. Kalau kita tengok di seluruh dunia, semua pemain utama dunia ada jurulatih mereka sendiri.

“Ini adalah tempoh yang penting buat Zii Jia kerana kelayakan ke Sukan Olimpik sudah bermula. Sekarang Zii Jia sudah ada jurulatih,” katanya pada Rabu.

Pada Selasa, Zii Jia mengumumkan pelantikan Tat Meng sebagai jurulatih baharunya yang bakal memulakan tugas sebaik proses perpindahannya dari Hong Kong selesai.

Chong Wei berkata, Zii Jia dan Tat Meng harus saling bekerjasama dengan baik bagi memastikan segala perancangan yang direncana mampu menghasilkan impak positif.

“Saya berharap mereka boleh membentuk kerjasama yang baik. Ini kerana komunikasi antara pemain dengan jurulatih itu sangat penting.

“Harap kerjasama antara mereka dapat keputusan yang baik. Saya percaya seluruh peminat juga gembira dengan keputusan Zii Jia mendapatkan khidmat jurulatih,” ujarnya.

Untuk rekod, Zii Jia bergerak solo tanpa khidmat jurulatih selepas dia berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Tat Meng kini masih terikat dengan tugasnya sebagai jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong selepas membimbing pasukan Korea Selatan dari tahun 2019 hingga 2022.

Ketika membimbing Korea Selatan, Tat Meng berjaya melonjakkan prestasi pemain perseorangan wanita negara itu, An Se-young yang kini menduduki ranking kedua dunia.

Jurulatih kelahiran Ipoh, Perak berusia 56 tahun itu pernah berada dalam barisan kejurulatihan Malaysia pada 2003-2011 dan 2013-2016; Indonesia (2012); Scotland (2016-2018) dan Hong Kong (2022-2023).